suria

Kerajaan Peruntuk RM 5 Juta Untuk Program Berkaitan Tanggungjawab Sosial

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memperuntukkan kirakira RM5 juta bagi membantu pelaksanaan program berkaitan tanggungjawab sosial bagi orang ramai pada tahun depan, kata Menterinya, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

"RM5 juta itu adalah khusus bagi kami untuk mengadakan program-program khusus yang boleh kita bantu menerusi sekolah dan jawatankuasa kampung," katanya kepada pemberita semasa menutup "Maxis Asean Cyberkids Camp 2009."

Bagi tujuan itu, katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merancang beberapa program untuk dilaksanakan pada tahun depan dengan kerjasama peserta industri.

"Ia (peruntukan RM5 juta itu) juga akan digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan untuk membeli komputer yang asas," katanya.

Rais berkata program membaik pulih komputer lama akan dilaksanakan pada tahun depan untuk meningkatkan penggunaan teknologi di negara ini.

"Sekiranya mendapat sambutan, kita akan kenal pasti program-program yang membawa kepada penggunaan komputer yang lebih meluas," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan SKMM untuk mewujudkan satu skuad untuk mengenal pasti orang ramai dan kawasan yang memerlukan bantuan.

"SKMM mungkin boleh tampil dengan skuadnya dan menolong," katanya.

"Asean Cyberkids Camp 2009" kedua yang berakhir hari ini itu disertai 115 peserta dari 10 negara anggota Asean.

Khemah itu direka bentuk untuk melengkapi para belia dengan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat, terutama sekali di dalam bidang maklumat, komunikasi dan teknologi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain