suria

Kerajaan Tidak Anggap Remeh Skandal PKFZ - Ong

KUALA LUMPUR: Keputusan mendakwa tiga individu semalam termasuk bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datin Paduka O.C.Phang dalam kemelut Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membuktikan bahawa kerajaan tidak memandang remeh skandal seumpama itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata ia juga membuktikan bahawa kerajaan mengotakan kata-katanya dalam hal hendak menegakkan akauntabiliti dan ketelusan.

"Ramai orang pada mulanya skeptikal yang pelaku kesalahan akan didakwa. Tetapi keputusan hari ini mendakwa tiga individu menunjukkan kerajaan tidak menutup salah laku," kata Ong dalam blognya www.ongteekeat.net.

Dua lagi yang didakwa ialah Steven Abok, ketua pegawai operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd; dan kontraktor projek turnkey, dan arkitek Bernard Tan Seng Swee dari BTA Architect, konsultan projek.

Ketiga-tiga mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Klang kerana melakukan pecah amanah (CBT) dan membuat tuntutan palsu.

Ong berkata beliau diberitahu mengenai beberapa orang didakwa berhubung kemelut PKFZ dan lebih ramai lagi akan diheret ke mahkamah tidak lama lagi, ketika menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan Asean di Hanoi, Vietnam semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Artikel Lain