BTN Akan Tetap Diteruskan Dengan Modul Baru - Semasa | mStar

BTN Akan Tetap Diteruskan Dengan Modul Baru

PETALING JAYA: Kurikulum baru kursus Biro Tata Negara (BTN) yang mencerminkan gagasan 1Malaysia akan tetap diteruskan walaupun mendapat kritikan banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan tetap mempertahankan keputusan untuk merombak modul BTN sedia ada selaras dengan matlamat untuk menyatukan semua etnik di negara ini.

"Katalah(komen)... kritiklah, tapi kabinet dah buat keputusan untuk rombak modul BTN agar lebih relevan," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir supaya mengekalkan modul BTN sedia ada kerana menurutnya ia sudah cukup baik dalam memupuk semangat kenegaraan di kalangan rakyat.

Baru-baru ini Mohamed Nazri berkata kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Isu BTN memuncak apabila kerajaan Selangor pada bulan lalu, memutuskan melarang kakitangan dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri itu daripada mengikuti kursus atau program BTN berkuatkuasa serta-merta.

Arahan kerajaan Selangor itu dikeluarkan kerana program BTN didakwa sekadar sesi membasuh otak yang sengaja diolah Barisan Nasional (BN) untuk meracuni pemikiran peserta bagi membenci pembangkang selain dijadikan tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pada 2 Disember lalu, Pulau Pinang turut mengikut langkah Selangor melarang semua kakitangan kerajaan negeri mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN), berkuat kuasa serta-merta.

Tambah Mohamed Nazri, Dr Mahathir berhak untuk memberikan sebaran komen mengenai keputusan merombak modul BTN, namun Kabinet tetap mempertahankannya.

"Saya faham Tun Mahathir tetap sokong BTN, beliau tak suruh kita hapuskan, tapi modul sedia ada tidak selaras dengan konsep gagasan 1Malaysia.

"Jadi kita rombak untuk mantapkan lagi kursus itu. Kalau dulu mungkin hanya tumpukan pada satu-satu kaum sahaja, tapi sekarang Perdana Menteri mahu kurikulumnya berpaksikan konsep 1Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada keputusan rombakan berkenaan adalah kesan daripada gesaan pembangkang yang mahu kursus BTN dihapuskan, beliau menafikan mengenai perkara tersebut.

"Tak ada kena-mengena dengan mereka," katanya.

Dalam pada itu Mohamed Nazri berkata, kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang boleh meneruskan hasrat mereka untuk melarang kakitangannya mengikuti kursus BTN namun ia tidak efektif kepada kakitangan awam peringkat pusat yang berkhidmat di negeri-negeri berkenaan.

"Kakitangan peringkat pusat tetap perlu menghadiri kursus BTN walaupun berkhidmat di negeri-negeri pembangkang," katanya.

Artikel Sebelum

Banjir Di Terengganu Makin Reda

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

Artikel Lain