suria

Polis Tawau Nafi Ada Pelajar Sekolah Bekerja Sebagai GRO

TAWAU: Polis menafikan dakwaan kononnya ada pelajar perempuan di daerah ini bekerja sebagai pelayan (GRO) di pusat-pusat hiburan khususnya pada hujung minggu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin berkata sepanjang tahun ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat pihak polis di pusatpusat hiburan membabitkan pelajar atau remaja bawah umur yang menjadi GRO.

Beliau berkata polis juga telah menerima pengesahan secara bertulis daripada Jabatan Pelajaran Tawau yang menyatakan sepanjang 2008-2009, tidak ada tangkapan dan masalah disiplin seumpama itu berlaku di kalangan pelajar perempuan.

"Begitu juga dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru disiplin sekolah yang mengesahkan bahawa tidak ada pelajar terlibat dengan aktiviti GRO," katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas isu itu yang dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat di persidangan Dewan Undangan Negeri barubaru ini.

Ibrahim berkata pihak polis juga telah mendapatkan penjelasan daripada Hamisa berhubung kenyataannya itu dan wakil rakyat berkenaan menjelaskan bahawa beliau cuma mendengar khabar angin tentang perkara tersebut.

Dalam perkembangan lain, katanya polis berjaya menangkap seorang suspek berumur 37 tahun dalam tempoh 24 jam selepas kejadian rompakan RM10,000 di sebuah syarikat peminjam wang berlesen di bandar ini awal minggu lepas.

Katanya tangkapan ke atas suspek berjaya dilakukan hasil kerjasama orang awam dan RM6,850 hasil rompakan berkenaan berjaya ditemui semula.

Rakan suspek yang terlibat dalam rompakan itu masih diburu polis, katanya. BERNAMA

Artikel Lain