suria

Jawatan tidak penting bagi saya - Liow

KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa desakannya supaya satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang baru diadakan bukanlah kerana berkehendakkan jawatan.

Beliau berkata EGM yang dicadangkan itu bertujuan memastikan parti dapat memulihkan semula kredibiliti dan maruah bagi membolehkan MCA terus mendapat sokongan daripada masyarakat Cina serta orang ramai.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya bukannya mengejar manamana kedudukan. Jawatan tidak penting bagi saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa beliau bersedia menyerahkan jawatan timbalan presiden kepadanya, Liow berkata: "Apa yang kita mahu ialah parti ini mengamalkan demokrasi dan kita mahu para pemimpin menghormati perlembagaan parti."

Dr Chua semalam memberitahu Liow supaya berhenti menghantar isyarat mengelirukan dan sebaliknya berterus terang sama ada beliau inginkan jawatan presiden atau timbalan presiden MCA.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan, turut menegaskan EGM kedua pada 28 Nov ini, adalah sah mengikut perlembagaan parti mengikut Artikel 27 di mana EGM boleh diadakan bagi membincangkan apa-apa permasalahan parti.

Beliau juga menggesa agar pemimpin-pemimpin MCA pusat menghormati EGM yang akan diadakan itu kerana ia adalah satu-satunya cara terbaik untuk menyelesaikan masalah dalaman parti.

"Kami mengharapkan agar pihak tertentu menghormati hak yang diberikan kepada perwakilan untuk mengadakan perhimpunan pada 28 Nov ini. Orang lain tidak perlu khuatir sama ada EGM ini sah atau tidak, kerana mengikut perlembagaan EGM ini adalah sah dan perwakilan mempunyai hak untuk hadir dan menyuarakan pendapat mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata mana-mana pihak juga tidak berhak untuk menyekat EGM daripada membincangkan apa juga isu dan perkara yang dibangkitkan termasuk dua usul resolusi yang akan dikemukakan pada perhimpunan itu nanti.

Dua usul resolusi yang akan dibentangkan pada EGM baru itu menyentuh mengenai mandat untuk mengadakan pemilihan baru selain membatalkan pelantikan atau penyingkiran anggota jawatankuasa pusat atau sebarang janji yang telah dibuat oleh presiden.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menyekat EGM untuk bincang apa jua isu dan perkara yang dibangkitkan. Dan perkara yang akan kita bangkitkan antaranya ialah pemilihan semula," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata isu untuk memanggil semula EGM baru adalah sah mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dirujuk kepada pakar undang-undang.

Oleh itu, beliau mengingatkan kepada perwakilan supaya tidak ragu-ragu mengenai kesahihan EGM pada 28 Nov nanti dan diminta hadir pada hari berkenaan.

Beliau turut menyelar tindakan segelintir pihak yang cuba menakut-nakutkan perwakilan dan menimbulkan kekeliruan tentang kedudukan EGM baru itu.

"Kalau selepas ini ada sesiapa yang menakut-nakutkan perwakilan yang mengatakan tidak guna menghadiri satu EGM yang tidak sah, itu cuma menggambarkan realiti mereka tidak berani berdepan dengan perwakilan.

"Kita juga mengingatkan Presiden bahawa tiada siapa yang berkuasa ke atas EGM yang dipanggil dan telah memenuhi syarat mengikut peruntukan 30.1, 30.2 dan 30.3," katanya. BERNAMA

Artikel Lain