suria

Cubaan tiga warga Iran seludup dadah dalam perut digagalkan

SHAH ALAM: Polis mematahkan cubaan tiga lelaki warga Iran menyeludup dua kilogram dadah jenis syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Supt Abdul Razak Md Zin hari ini berkata ketigatiga lelaki yang menaiki penerbangan dari Dubai itu ditahan di balai ketibaan KLIA pada pukul 3.30 petang hasil gerakan bersepadu bahagian narkotik Bukit Aman, Selangor dan KLIA.

"Ketigatiga lelaki itu yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa ditahan dan kita bawa mereka ke Hospital Serdang untuk di x-ray," kata kepada pemberita di sini.

Melalui imbasan x-ray, terdapat ketulan-ketulan kapsul yang dipercayai dimuatkan dengan syabu di dalam perut mereka dan polis dengan kerjasama hospital dapat mengeluarkan 262 kapsul berisi syabu itu dalam tempoh 24 jam melalui pembuangan air besar oleh ketiga-tiga lelaki itu.

Beliau berkata setiap lelaki itu menelan di antara 80 hingga 100 kapsul dan syabu di dalam keseluruhan kapsul itu mempunyai nilai pasaran RM500,000.

Tiga lelaki Iran itu yang masingmasing berumur 22, 30 dan 31 tahun itu kini ditahan reman sehingga 14 Oktober dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, polis menahan tiga lelaki tempatan di kawasan meletak kereta Hospital Sungai Buluh pada pukul 6.00 petang, Isnin lepas selepas salah seorang daripada mereka didapati membawa dadah dipercayai syabu dalam dua paket plastik.

Syabu yang ditemui adalah seberat 940 gram dan mempunyai nilai pasaran kira-kira RM230,000.

Mereka yang berumur lingkungan 32 hingga 52 tahun itu disyaki terlibat di dalam pengedaran dadah berbahaya itu dan kini ditahan reman sehingga 12 Oktober ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Lain