suria

Edar dadah: 2 lelaki alami nasib berbeza

KUALA LUMPUR: Seorang warga Indonesia Nasir Ibrahim dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar 868 gram kanabis di sini lebih lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Abdul Aziz berkata Nasir, 31, gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap dakwaan melakukan kesalahan itu pada sekatan jalan raya di Taman Wilayah pada 4 pagi 7 Jan 2004.

Katanya keterangan pembelaan oleh Nasir adalah rekaan semata-mata dan tidak dapat diterima terutama mengenai penglibatan seorang lagi yang dikatakan kawannya yang telah melarikan diri.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam satu kes lain di mahkamah yang sama, Zainal Azman membebas dan melepaskan M. Muniyaretnam, 45, daripada tuduhan mengedar 255 kanabis kerana mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kilang mee tidak bernombor di Jalan Kasipillay di sini pada 2.30 pagi 28 Jan 2007.

Zainal Azman berkata pendakwaan tidak dapat membuktikan unsur pemilikan dadah itu dan tempat tangkapan juga bukan milik tertuduh.

Muniyaretnam, yang juga didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tersenyum di kandang tertuduh apabila mendengar keputusan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

Artikel Lain