suria

Lelaki Thailand bunuh dengan kayu dengan ditahan

KUANTAN: Seorang lelaki warga Thailand ditahan polis di Kampung Raja dekat Cameron Highlands dalam tempoh 24 jam selepas membunuh seorang rakannya semalam.

Sebelum itu, mangsa S. Sivakumar, 48, dari Tanjung Rambutan, Perak telah ditemui mati tertiarap di sebuah perhentian bas Brinchang dekat Cameron Highlands oleh dua anggota polis yang membuat rondaan kirakira 2 pagi semalam.

Turut dijumpai adalah sebatang kayu, sebilah pisau dan beberapa botol minuman keras berhampiran mayat mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata suspek berusia 23 tahun yang merupakan rakan kepada mangsa berjaya ditahan polis pada pukul 6.45 petang semalam.

Katanya sebelum kejadian, suspek bersama mangsa berada dalam keadaan mabuk apabila berlaku pertengkaran kecil antara mereka.

"Suspek kemudian bertukar menjadi berang lalu memukul mangsa dipercayai dengan sebatang kayu di bahagian kepala dan badannya yang mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Ekoran itu suspek direman selama tujuh hari bermula semalam, katanya.

Sementara itu, Nordin berkata seorang pengusaha sebuah pusat hiburan di sini cedera di bahagian kepala selepas disamun empat lelaki di hadapan rumahnya di Taman Lorong Semambu di sini, pagi tadi.

Beliau berkata kejadian pada pukul 3 pagi itu berlaku ketika ahli perniagaan berusia 35 tahun itu baru pulang dari tempat kerjanya.

"Sebelum memasukkan keretanya dalam perkarangan rumah, mangsa melihat ada empat lelaki sedang membuka pintu pagar rumahnnya dan salah seorang daripada suspek mengetuk kepalanya dengan satu objek keras sejurus dia keluar dari kenderaannya," katanya.

Beliau berkata, suspek berjaya melarikan sebuah beg mangsa berisi wang tunai berjumlah RM5,000 di dalam kereta tersebut. BERNAMA

Artikel Lain