suria

Pemimpin parti komponen BN sokong kerajaan baru Perak

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini memberi sokongan padu kepada rakan sejawatan mereka di Perak, yang kini mempunyai cukup Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan baru selepas empat Adun Pakatan Rakyat (PR) meninggalkan parti masing-masing.

Timbalan Presiden Gerakan dan Pengerusi Gerakan Perak Datuk Chang Ko Youn berkata sungguhpun Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi DUN Perak pada pilihan raya umum Mac 2008, parti itu menyokong penuh pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Gerakan kalah empat kerusi DUN yang diperuntukkan kepada parti itu yang bertanding atas tiket BN iaitu Canning, Aulong, Kuala Sepetang dan Jalong.

"Sungguhpun kami lebih menyukai pilihan raya baru, dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa, namun kami tidak mahu membebankan rakyat dan memberi tekanan kepada mana-mana sumber untuk tujuan itu.

"Kami percaya sumber itu perlu ditumpukan kepada memulihkan semula ekonomi. Langkah mengadakan pilihan raya baru tidak akan membantu pada masa ini," katanya ketika dihubungi.

Chang berkata tindakan beberapa wakil rakyat PR meninggalkan pakatan pembangkang itu tidak memeranjatkan berdasarkan kepada prestasi kerajaan negeri PR sejak 11 bulan lepas.

"Mereka menjadi sangat angkuh, menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan YB (Yang Berhormat) mereka sendiri dan sebab itulah ada di antaranya yang meninggalkan parti. "Kerajaan negeri diperintah oleh dua atau tiga orang, majoriti YB diketepikan," katanya.

Naib Presiden MCA dan Pengerusi MCA Perak, Datuk Kong Cho Ha berkata parti itu semestinya menyokong pembentukan kerajaan negeri oleh BN.

"BN mempunyai angkanya. Sudah tentu mereka akan menawarkan diri untuk membentuk kerajaan negeri. Bagaimanapun, bagi urusan yang lebih terperinci, kami memilih untuk membincangkannya secara tertutup," katanya.

MCA diperuntukkan 16 kerusi DUN untuk bertanding di Perak, sebahagian besarnya di Lembah Kinta namun hanya menang satu kerusi di Chenderiang yang ketika ini disandang oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA, Dr. Mah Hang Soon.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu ketika mengalu-alukan perubahan kerajaan negeri Perak, mengucapkan tahniah kepada pemimpin BN yang menerajui perubahan itu.

"Penduduk Perak kini yakin akan dapat menikmati pembangunan berterusan. Saya menggesa kaum India di negeri ini supaya bekerjasama dengan kerajaan baru BN di negeri ini bagi meningkatkan tahap sosial dan ekonomi mereka," katanya.

Setiausaha Agung MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam, mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas "pengambil-alihan itu."

"Dengan BN memerintah kerajaan persekutuan, Perak akan menikmati pembangunan yang lebih pesat. Ini adalah jaminan daripada kerajaan BN," katanya.

MIC diperuntukkan empat kerusi iaitu Sungkai, Hutan Melintang, Behrang dan Pasir Panjang, di bawah tiket BN pada pilihan raya umum lepas.

Parti itu kalah kesemua kerusi DUN berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain