suria

Putera Bahrain saman Michael Jackson

LONDON: Putera Bahrain, Sheikh Abdulla Hamad Al Khalifa memfailkan saman terhadap Raja Pop, Michael Jackson atas dakwaan melanggar kontrak bernilai tujuh juta dolar dan meminta bayaran semula wang pendahuluan yang mana dianggap oleh Michael sebelum ini sebagai "hadiah".

Menurut peguam Sheikh Abdulla, Bankim Thanki yang memberitahu Mahkamah Tinggi London semalam, anak kedua Raja Bahrain itu telah memberi bantuan kewangan kepada Michael selepas perbicaraan selebriti popular antarabangsa itu di atas dakwaan mencabul kanak-kanak selesai.

Menurut laporan AFP, Sheikh Abdulla dan Michael dikatakan mempunyai "hubungan peribadi yang rapat" dan pernah berbincang kemungkinan penyanyi itu untuk berpindah ke Bahrain pada tahu 2005 selepas perbicaraan kes cabul itu berakhir.

Mereka turut bekerjasama di dalam sebuah projek muzik - Michael merakamkan sebuah lagu yang ditulis sendiri oleh Sheikh Abdulla yang sepatutnya dijadikan sebuah lagu single bagi tujuan kebajikan.

"Sheikh Abdulla mula memberi bantuan kewangan kepada Michael selepas tahun 2005 apabila melihat Michael berada di dalam krisis kewangan yang teruk," kata Thanki kepada mahkamah.

Tambah Thanki, beberapa pembantu Michael pernah meminta 35,000 dolar daripada Sheikh untuk membayar bil pengurusan ladang Neverland milik penyanyi itu, diikuti permintaan sebanyak satu juta dolar pada April 2005.

"Sheikh Abdulla banyak membuat bayaran yang lain juga termasuklah 2.2 juta dolar untuk bayaran guaman kes perbicaraan Michael dulu," kata Thanki.

Sheikh Abdulla merancang untuk menaikkan semula karier seni Michael dengan menghasilkan lagu menerusi label mereka sendiri, termasuklah sebuah lagu yang dirakamkan sehari selepas perbicaraan Michael itu berakhir yang mana tujuan Sheikh adalah untuk membantu mangsa tsunami pada tahun 2004.

Lagu tersebut akan diputarkan di mahkamah sepanjang perbicaraan itu.

"Ia (lagu) membuktikan kualiti kemahiran Sheikh Abdulla di dalam penulisan lirik dan mutu vokal Michael," kata Thanki lagi.

Sheikh Abdulla menyaman Michael kerana melanggar perjanjian "bayar semula" bernilai 4.7 juta pound yang dibuat untuk membayar semula wang yang didahulukan kepada Michael ketika bintang antarabangsa itu menghadapi masalah kewangan yang teruk.

Michael yang tidak hadir di mahkamah telah dihubungi menerusi video dari Los Angeles untuk memberikan keterangan. Katanya, kes itu dibuat berdasarkan "kesilapan, gambaran yang salah dan pengaruh yang tidak sepatutnya".

Michael berkata bayaran tersebut adalah "hadiah" dan mendakwa tiada projek pun yang diselesaikan di antara mereka.

Walaupun Michael mengaku bahawa dia ada menandatangani sebuah perjanjian yang mana dia turut memegang saham di dalam syarikat rakaman milik Sheikh, dia berkata kontrak tersebut telah memasuki dasar "gambaran yang salah".

Artikel Lain