suria

Teng Chang Yeow Setiausaha Agung baru Gerakan

PULAU PINANG: Bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow dilantik semula sebagai Setiausaha Agung parti itu bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Chia Kwang Chye.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pelantikan Teng dibuat pada mesyuarat jawatankuasa pusat yang diadakan semalam.

Koh berkata mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut selepas pemilihan parti minggu lepas turut melantik Chia sebagai naib presiden parti.

"Beliau (Chia) tidak terlibat dengan pimilihan pusat kali ini. Lima jawatan untuk naib presiden boleh dilantik terus oleh jawatankuasa pusat. Atas nasihat presiden, setiausaha agung boleh melantik tiga timbalan dan bendahari, salah seorang timbalan mesti dari kalangan ahli jawatankuasa pusat.

"Speaker juga boleh melantik timbalannya sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat jawatankuasa itu juga memutuskan pengambilan ahli dari pelbagai kaum dan latar belakang budaya perlu dilakukan lebih aktif sebagai inisiatif pengukuhan parti.

Selain itu jawatankuasa tersebut turut menyenaraikan lapan strategi dan lapan fokus utama yang perlu diberi perhatian khusus untuk membangunkan parti.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengerusi Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn, tiga Naib Presiden Datuk Mah Siew Keong, Datuk Dr S. Vijayaratnam dan Huan Cheng Guan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain