suria

BN Yakin Menang Parlimen Padang Terap, DUN Kuala Nerang & Pedu

KUALA NERANG: Sambutan menggalakkan golongan muda dan pengundi atas pagar terhadap program-program Umno Bahagian Padang Terap diyakini memberi kelebihan untuk Barisan Nasional (BN) mendapatkan kembali Parlimen Padang Terap serta mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang dan Pedu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib ketua Umno bahagian, Datuk Syed Sobri Syed Hashim memberi contoh program-program yang dilaksanakan pejabat ADUN Kuala Nerang sepanjang tahun lepas dan sejak awal tahun ini mendapat sambutan luar dugaan.

Menurutnya pelbagai program bantuan yang ditunaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan B Nberbeza dengan pembangkang yang banyak menabur janji kosong selama lima tahun.

"Kita lebih banyak berdamping dengan mereka manakala pembangkang lebih menumpukan kepada ceramah untuk mengabui pandangan rakyat," katanya kepada pemberita di sini, petang Selasa.

Beliau sebelum itu menyertai lebih 100 orang muda menunggang motosikal dalam 'Kembara Jelajah Imam Muda' iaitu sebahagian program Jelajah Prihatin ADUN Kuala Nerang ke tiga buah kampung dalam DUN Kuala Nerang.

Dalam program itu, Syed Sobri mengunjungi veteran Umno, orang kurang upaya dan warga emas untuk menyatakan keprihatinan orang muda kepada mereka dalam program yang mendapat kerjasama bahagian Seranta Umno Padang Terap dan Felda yang menyediakan hamper.

Pada PRU 2008, BN yang diwakili Syed Sobri mendapat kembali kerusi DUN Kuala Nerang dari Pas manakala bekas Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid mempertahankan DUN Pedu namun kalah kerusi Parlimen Padang Terap kepada PKR.

Syed Sobri berkata golongan muda hari ini gemar kepada program-program lasak untuk mengisi masa lapang sebagai riadah namun kerajaan negeri tidak mempedulikan keperluan mereka.

Sementara itu, ketua Pemuda Umno cawangan Tanjung Putus, Zulkepli Ahmad, 39, berpendapat program seumpama ini perlu diperbanyakkan bagi mendekatkan golongan muda dengan masyarakat luar bandar terutama warga emas.

Seorang warga emas, Som Musa, 104 tahun, bersyukur kerana ini adalah pertama kali menerima kunjungan wakil rakyat dan konvoi orang muda.

Warga emas itu masih boleh bercakap, mendengar dan penglihatannya juga jelas namun tidak bercakap banyak kerana kesihatannya terganggu, tinggal bersama anak angkat, Zulkipli Mat Isa, 43.

Syed Sobri dan konvoi berkenaan turut mengunjungi seorang lagi veteran Umno, Said Bahari, 71, di Kampung Naiteh yang diserang angin ahmar sejak setahun lepas. BERNAMA

Artikel Lain