suria

MB Perak baru ahli politik terkenal

IPOH: Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir adalah seorang ahli politik terkenal di negeri ini, yang memberikan banyak sumbangan dalam pembangunan Maklumat, Komunikasi dan Teknologi (ICT) di negeri tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi penggal kedua ini, Zambry, 47 memulakan kariernya dalam politik sebagai ketua Pemuda Umno Pangkor pada 1992 dan kemudian mengetuai Pemuda Umno Perak, beliau diberi tanggungjawab dalam membangunkan ICT negeri semasa menjadi Exco negeri yang dipertanggungjawabkan mengenai multimedia.

Selepas memenangi kerusi negeri pertama di Pangkor pada pilihan raya umum 2004, beliau dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Multimedia dari 2004 hingga 26 September 2006.

Sehari kemudian beliau dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi dan Inovasi dalam rombakan kecil kerajaan negeri, yang memberikan beliau banyak kuasa untuk memperluaskan lagi pembangunan ICT di Perak.

Dilahirkan di Pulau Pangkor pada 22 Mac 1962, ketua Umno Bahagian Lumut itu berkelulusan ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1987 dan empat tahun kemudian lulus ijazah Sarjana dalam Pemikiran Islam daripada universiti yang sama.

Bekas Exco Pemuda Umno kebangsaan itu juga memegang ijazah Sarjana dalam Falsafah Politik dan Perbandingan Agama pada 1992, dan tiga tahun kemudian memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam Politik Kontemporari, kedua-duanya daripada Temple University, Amerika Syarikat.

Seorang penulis aktif, Zambry memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan penulisan semasa menuntut, antaranya Anugerah Penulisan Esei Hari Kebangsaan negeri Perak pada 1982 dan memperoleh tempat kedua pada peringkat kebangsaan, Anugerah Penulisan Agama Kebangsaan pada 1986 dan Pertandingan Penulisan Akademik peringkat kebangsaan 1987.

Beliau juga menulis beberapa buku antaranya "Umno dan Jiwa Merdeka" (1998), "Pemuda Umno Menebus Maruah, Menuju Arah" (2000) dan "Islam Malaysia dan Amerika" (2002).

Zambry juga editor bagi beberapa penerbitan termasuk "Pendidikan dan Pembangunan" di Nurin Enterprise pada 1989, "Business Administration in Islam" oleh Hizbi pada 1991 dan "Imbas Gemilang KBS 98" untuk Kementerian Belia dan Sukan.

Ayah kepada lima orang anak, tiga perempuan dan dua lelaki, beliau pada 2005, ditauliahkan dengan Leftenan Komander Kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh ketika itu Yang diPertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan menjadi ahli politik pertama diberikan tauliah seperti itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain