suria

Industri pelancongan tergugat akibat pergolakan di Selatan Thailand

PERJALANAN dari Sungai Golok ke Pattani, kawasan tengah wilayah-wilayah Islam di selatan Thailand, mengambil masa dua jam perjalanan darat dengan melalui kumpulan tentera yang bersenjata yang mengawasi pusat pemeriksaan di sepanjang jalan.

Kehadiran anggota tentera di wilayah berkenaan memberi satu peringatan bahawa wilayah-wilayah berkenaan yang bersempadan dengan Malaysia, telah beberapa tahun diselubungi dengan konflik, yang didakwa dilakukan oleh puak pemisah Islam.

Konflik yang bermula pada 2004, telah menggugat keadaan ekonomi tempatan terutama dalam industri pelancongan, yang banyak bergantung kepada wang hasil pelancongan untuk kelangsungan kehidupan.

Pasir putih yang membentangi sepanjang pantai selatan Thailand, monumen purba, dan tempat hiburan yang murah telah lama menjadi tarikan kepada berjuta pelancong termasuk dari Malaysia dan bahagian lain dunia.

Oleh kerana konflik yang berterusan itu, industri pelancongan yang satu ketika dulu menyumbang pendapatan lumayan kini terpaksa bergelut untuk terus hidup, berikutan selatan Thailand kini dianggap sebagai berisiko kepada pelancong.

Runtuh industri pelancongan

Seorang pegawai tempatan berkata, industri pelancongan di wilayah-wilayah Islam selatan Thailand seperti Satun, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Pattani, yang berguntung kepada pelancong Malaysia berhadapan dengan situasi 'hampir runtuh' akibat daripada konflik itu.

Sejak bermulanya konflik itu pada 2004, jumlah pelancong Malaysia yang menyeberangi ke wilayah-wilayah berkenaan berkurangan sehingga 50 peratus. Ramai yang menyatakan keadaan tidak stabil dan keselamatan sebagai sebab utama menghalang mereka melancong ke sana.

"Sektor pelancongan di selatan Thailand telah runtuh. Jumlah pelancong sebenarnya, selain daripada mereka yang datang untuk berhibur di Sungai Golok dan Haadyai, adalah hampir sifar".

"Mereka (pelancong) takut dengan serangan. Itu adalah senario di wilayah-wilayah berkenaan", kata Pengerusi Persatuan Pelancongan Pattani Senator Anusart Suwanmongkol dalam temubual dengan media Malaysia di Pattani baru-baru ini.

Rombongan media Malaysia adalah dalam lawatan suaikenal selama seminggu anjuran Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur, ke wilayah-wilayah Islam seperti Narathiwat, Pattani serta Bangkok dan Chiang Mai.

Bergelut untuk kelangsungan hidup

Sejak konflik berlaku di bahagian selatan Thailand lima tahun lepas setelah puak pemisah menggeledah gedung senjata tentera, lebih 3,000 orang telah kehilangan nyawa dan ekonomi tempatan yang bergantung kepada sektor pelancongan adalah antara yang menerima natijahnya.

Anusart, lemah lembut dalam tutur kata dan adalah satu-satunya senator beragama Buddha dari wilayah majoriti Islam di selatan Thailand, berkata, konflik yang berlanjutan itu tidak dinafikan lagi menjejaskan industri pelancongan di selatan yang terpaksa bergelut untuk kelangsungan kehidupan.

"Hotel dan tempat peranginan terpaksa menurunkan kadar bilik kepada lebih separuh untuk menarik pelawat, tetapi ia masih gagal. Ramai yang terpaksa gulung tikar dan ramai lagi yang akan turut serta jika keadaan masih tidak berubah", katanya.

Pada masa kini, katanya, hotel dan tempat peranginan di selatan Thailand bergantung kepada perniagaan kerajaan, contohnya seminar dan konvensyen untuk terus hidup.

Menurut pejabat Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) di Pattani, jumlah kehadiran pelancong ke selatan Thailand turun dengan banyaknya dari 1.4 juta pada 2003 kepada 758,842 pada 2005, 779,256 (2006) dan 685,439 (2007) akibat daripada konflik itu.

Hasil berkurangan

Lebih daripada 55 peratus daripada pelancong ke selatan Thailand adalah rakyat Malaysia.

"Jumlah ketibaan pelancong berkurangan akibat daripada konflik di selatan Thailand dan penguatkuasaan ketat oleh imigresen, polis dan tentera yang menekankan keselamatan orang ramai", kata TAT.

Hasil daripada sektor pelancongan yang telah sekian lama menyumbang kepada kelangsungan ekonomi tempatan turut menerima kesannya daripada ketibaan pelancong yang berkurangan, dengan pelancongan di selatan Thailand mencatatkan hasil 1.4 juta Baht pada 2007.

Angka tersebut mencatatkan penurunan berbanding 4.7 juta Baht pada 2003 sebelum tercetusnya konflik. Bagaimanapun, suasana suram yang membelenggu industri pelancongan selatan Thailand akhirnya menunjukkan sedikit kemajuan, berasaskan daripada catatan terbaru jumlah ketibaan pelancong ke rantau selatan itu.

Keadaan bertambah baik

TAT menyatakan bahawa ketibaan pelancong ke selatan Thailand, terutama dari Malaysia, kian meningkat untuk tempoh Jan-Jun 2008, memberi isyarat bahawa pengusaha pelancongan wilayah selatan boleh menjangkakan harihari mendatang yang lebih baik.

Ketibaan pelancong ketigatiga wilayah Islam di Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala dalam tempoh tersebut tahun lepas, menurut TAT, menunjukkan satu pertumbuhan yang sihat iaitu masing-masing 25, 62 dan 52 peratus.

Gabenor Narathiwat, Winai Kharuwannapat bersetuju bahawa keadaan di wilayah-wilayah Islam yang bersempadan dengan Kelantan kian bertambah baik, yang memberi laluan kedatangan semula pelancong Malaysia.

"Keadaan (di selatan Thailand) bertambah baik. Saya berharap pelancong akan datang kembali ke rantau ini terutama ke Narathiwat", katanya.

Bagi Anusart, meskipun industri pelancongan menunjukkan perkembangan yang semakin baik di selatan seperti yang dinyatakan oleh TAT dan gabenor, beliau masih mahu sesuatu dilakukan untuk memperbetulkan persepsi salah orang luar mengenai situasi di selatan Thailand. Imej yang diputarbelit

Media menerusi laporan "separuh benar dan diperbesar-besarkan", katanya, telah memberi gambaran yang diputarbelit mengenai apa yang sebenarnya berlaku di wilayah-wilayah Islam terutama Pattani, Yala dan Narathiwat.

"Media telah memberi gambaran seolah-olah jika seseorang itu pergi ke Pattani, akan terdapat orang yang menyorok di belakang semak untuk menyerang, menembak atau membunuh anda. Itu bukanlah apa yang sebenarnya", katanya.

Media menurut Anusart, begitu pantas untuk membuat sebarang kesimpulan.

Sekiranya diberi peluang untuk bercakap, senator itu menambah, beliau mahu memansuhkan semua pusat pemeriksaan ketenteraan yang berada di sepanjang jalan di selatan Thailand yang menurut beliau boleh menakutkan pelancong yang berpotensi daripada melawat wilayah berkenaan.

"Jika saya diberi peluang, saya tidak mahu ada sebarang pusat pemeriksaan. Ia menolak kehadiran orang yang baik", kata Anusart. BERNAMA

Artikel Sebelum

Mauritius, permata Lautan Hindi

Artikel Berikut

Artikel Lain