suria

Mauritius, permata Lautan Hindi

PELBAGAI warna dan rasa, selain satu persekitaran yang aman dan damai menggambarkan Mauritius, sebuah negara kepulauan di Lautan Hindi.

Mauritius, yang sering kali dirujuk sebagai permata Lautan Hindi, dikelilingi pantai yang indah dan selamat, iklim tropika sederhana di samping kemesraan rakyatnya yang boleh dikatakan tiada bandingannya.

Inilah negara asal saya yang mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia dalam banyak perkara khasnya daripada segi masyarakat majmuk dan keindahan alam semulajadi.

Sejak pertama kali saya menjejakkan kaki di bumi Malaysia kirakira dua setengah tahun yang lepas untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sebaran am di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, saya mula memerhatikan banyak daripada persamaan antara Mauritius dan Malaysia.

Demografi majmuk Negara saya adalah antara destinasi percutian terkemuka di dunia. Di kelilingi oleh lautan warna firus, pantai putih serta bentuk muka bumi hijau yang beralun, negara saya menawarkan panorama yang indah untuk setiap pelawat.

Sama seperti Malaysia, Mauritius mempunyai kelebihan daripada segi latarbelakang budaya dan etnik yang pelbagai.

Di sini anda juga boleh menemui populasi India dan Cina bersama orang Eropah dan Arab dan penduduk asal, Creole. Kewujudan kepelbagaian kumpulan etnik ini membolehkan banyak agama diamalkan di Mauritius dengan Hindu merupakan agama majoriti dan disusuli Kristian, Islam dan yang lain.

Jadi gereja, masjid dan kuil menjadi sebahagian daripada landskap bersama sambutan seperti Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Mahashivratee dan Pere Laval yang membawa kesinambungan kemeriahan sepanjang tahun.

Bahasa Inggeris dan Perancis dipertuturkan dengan meluas dan seperti rakyat Malaysia, rakyat Mauritius juga ramah dengan pelawat.

Dholl puri seperti roti canai di Malaysia

Sebagai wadah tumpuan pelbagai budaya, Mauritius menawarkan aneka jenis makanan. Mauritius mempunyai pelbagai juadah untuk ditawarkan yang pasti memenuhi citarasa walaupun mereka yang cerewet.

Seperti roti canai yang begitu lazim di Malaysia, kita mempunyai hidangan lebih kurang sama untuk dinikmati iaitu 'dholl puri' (sejenis roti leper) yang mudah didapati di kedai-kedai di tepi jalan. Juga terdapat satu lagi hidangan iaitu 'farata' yang mirip kepada capati di sini yang dimakan bersama hidangan sampingan.

Dan jangan lupa untuk mencuba Rougaille (campuran tomato, bawang dan daging ayam atau makanan laut) dan Daube (kari ala Perancis yang terdiri daripada daging ayam). Saya turut kagum dengan makanan di Malaysia dan yang paling saya gemari ialah 'satay', 'ketupat' dan 'kway teow'.

Dan anda tidak harus melepaskan pelbagai snek di pulau berkenaan yang termasuk 'gateaux piments' (sejenis vadai India), 'chana puri' (tepung goreng berempah) dan samoosa sayuran atau daging.

Seperti di Malaysia, rakyat Mauritius juga meminati kuih manis dan membuat pelbagai jenis kuih yang dikenali sebagai 'gateaux'. Lazimnya ini adalah kuih-muih India yang boleh juga didapati di sini yang termasuk 'Gulab Jamun' dan 'Rasgulla'.

Lawat tempat dan beli-belah

Sejak mencapai kemerdekaan pada 1968, Mauritius mengikut jejak langkah Malaysia dalam pembangunan daripada sebuah ekonomi berpendapatan rendah, yang berteraskan pertanian, kepada ekonomi pendapatan sederhana yang pelbagai bersama sektor industri, kewangan dan pelancongan yang tumbuh pesat.

Sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam ekonomi Mauritius di mana terdapat pelbagai aktiviti rekreasi untuk membantu menyokong industri pelancongan tempatan.

Pelawat datang untuk bersantai di bawah panas matahari di negara saya dan saya mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia melawat Mauritius.

Secara tipikal Mauritius dikenali kerana pantai putihnya yang panjang dibarisi pokok ru (Casuarina). Bagi mereka yang mahu mengelakkan matahari mereka boleh menjalani terapi tubuh di spa atau bermain golf secara santai pada sebelah petang.

Pereybere merupakan satu daripada tempat bermandimanda terbaik di pulau sementara Grand Bay adalah kawasan terbaik bagi pelayaran, luncur angin dan ski air. Keduaduanya terdapat di bahagian utara pulau.

Saya mengesyorkan beberapa tempat yang tidak harus dilepaskan peluang apabila berada di Mauritius termasuk taman tertua di dunia Pamplemousses Botanical dan gumuk semulajadi dengan tujuh warna di Chamarel. Ini adalah dua daripada banyak tempat yang boleh dilawati.

Seperti Kuala Lumpur, bandar ibu negara Port Louis juga tempat yang sesuai untuk beristirehat dan membeli-belah. Di Kuala Lumpur, saya suka berkunjung ke Pavillion, BB Plaza dan Berjaya Times Square. Tetapi jika anda berada di Mauritius kunjungilah kawasan Grand Bay yang menawarkan pelbagai hiburan dan aktiviti riadah.

Grand Bay juga menyediakan tempat membeli cenderahati yang unik dengan negara kepulauan ini termasuk arca Dodo (sejenis burung Mauritius yang kini telah pupus) serta produk kraftangan lain.

Terdapat banyak aktiviti dan tempat menarik yang menanti ketibaan pelawat ke Mauritius, jadi silalah ke sana dengan kapal terbang.

Bagi saya pula, saya akan berada di Malaysia untuk empat bulan lagi dan bercadang untuk menikmati sepenuhnya keindahan Malaysia dan kemesraan penduduknya. Seperti tanah air saya Mauritius, Malaysia akan tetap kekal dalam sanubari saya walaupun lama selepas saya pulang ke kampung halaman saya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain