suria

Sajian Kampung Tambat Selera Di Spices@Furama

HIDANGAN tradisional tidak pernah luput daripada selera rakyat Malaysia yang sentiasa menginginkan keaslian dan kepelbagaian terutama menjelang waktu berbuka puasa.

Namun usah bimbang kerana bufet Ramadan yang dibawakan Spices@Furama di Hotel Furama, Bukit Bintang di ibu negara kembali menghidangkan sajian ala kampung buat pengunjung.

Bertemakan Sajian Kampung, Spices@Furama menyajikan hidangan tradisional dan kontemporari dari pembuka selera, hidangan utama sehingga pencuci mulut.

Pilihan gaya kampung pastinya mencuri perhatian dengan ikan patin masak tempoyak, asam pedas ekor lembu, pucuk paku masak lemak, lala tumis cili padi dan ikan keli goreng berlado.

Anda pasti tidak berasa bosan menikmati selera di sini kerana semua pilihan bufet Ramadan adalah berlainan setiap hari dengan pelbagai menu menanti anda untuk disajikan.

Tempoyak udang pucuk paku, ikan singgang pedas, gulai labu kuning, sayur lemak pucuk asin, daging salai masak lemak cili api, sambal udang petai pastinya mengiurkan selepas sehari berpuasa.

Lebih menyelerakan apabila hidangan utama turut diserikan dengan pilihan sup seperti sup ekor berempah, sup kambing mamak, sup tulang rawan dan soto ayam madura.

Selain itu, bufet Ramadan ala kampung ini turut menyediakan pilihan istimewa Ramadan yang terdiri daripada nasi dagang pantai timur dan nasi kerabu, termasuk ikan bakar dan otak-otak yang disajikan bersama air asam.

Anda juga cukup bertuah kerana Spices@Furama menghimpunkan beberapa chef berpengalaman bagi menyediakan pilihan istimewa chef dengan pelbagai jenis gulai kawah termasuk daging, itik serati dan kambing.

Kehangatan Aidilfitri juga boleh dirasai sepanjang berbuka puasa apabila anda dapat menikmati lemang pulut, ketupat daun palas, nasi impit ditambah pula dengan tiga jenis serunding iaitu ayam, ikan dan daging.

Tidak lengkap hidangan tanpa sambal sebagai pembuka selera, sekali gus mengimbau kenangan di desa ketika menjamu selera, bukan sahaja satu malah pilihannya pasti memenuhi citarasa ramai, sama ada sambal belacan, sambal mangga, sambal kicap bercili, sambal hijau dan sambal merah teri, malah budu, cencaluk dan tempoyak turut tersedia buat anda.

Jelas sekali lokasi Hotel Furama yang terletak di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur bukan penghalang untuk penggemar sajian ala kampung berbuka puasa.

Bagi anda yang benar-benar mahukan pengalaman bermakna ini apa tunggu lagi, anda boleh membuat tempahan di talian +60327888983 atau emel ke [email protected].

Harga seorang bagi dewasa adalah RM98 nett dan RM30 nett untuk kanak-kanak. Menariknya, terdapat tawaran hebat dengan potongan 50 peratus bagi warga emas (55 tahun ke atas) dan tempahan bagi berbuka puasa antara 14 hingga 16 Julai.

Artikel Berikut

Artikel Lain