HANYA kerana mahu mendapatkan kelonggaran buat ahli keluarga yang ditahan dalam kes pembunuhan, sebuah keluarga didakwa terpaksa menjual tanah bernilai lebih 8.2 juta rupee (kira-kira RM390,000) pada harga hanya 1.82 juta rupee (kira-kira RM86,000).Lebih mengejutkan, penjualan tanah seluas 2.15 hektar itu dipercayai berlaku selepas keluarga berkenaan menerima tekanan daripada seorang pegawai kanan polis di Madhya Pradesh, India. Dakwaan serius itu akhirnya membawa kepada penggantungan Ketua Polis Daerah Katni, Neha Pachisia selepas Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav mengarahkan tindakan tersebut diambil pada Jumaat.Kes itu terbongkar selepas keluarga Akash Lodhi mendakwa Pachisia menekan mereka supaya menjual tanah berkenaan sebagai pertukaran untuk mendapatkan kelonggaran dalam kes dihadapi suspek tersebut.Berdasarkan laporan, Akash ditahan pada April lalu berhubung pembunuhan seorang lelaki sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada Julai.Keluarganya turut mendakwa Pachisia bersama seorang ketua balai polis meminta wang bagi mengubah kenyataan di mahkamah dan membantu mendapatkan pembebasan semua tertuduh.Siasatan kemudian mendapati nilai tanah terbabit berdasarkan kadar garis panduan melebihi 8.2 juta rupee, namun dokumen jual beli didakwa hanya mencatatkan harga 1.82 juta rupee.Lebih mencurigakan, Maroof Ahmed Hanfi yang dinamakan sebagai pembeli tanah itu didapati tidak mempunyai dana mencukupi dalam akaunnya.Namun pada 15 April iaitu hari pendaftaran tanah dilakukan, sebanyak satu juta rupee (kira-kira RM47,000) dimasukkan ke akaun Maroof oleh Shine Partners, manakala 500,000 rupee (kira-kira RM24,000) lagi dipindahkan oleh Kshitij Raj Barapatre.Menurut laporan siasatan, transaksi berkenaan menjadi antara penemuan yang mendedahkan dakwaan rasuah berkaitan urus niaga tersebut.Susulan itu, pejabat Pachisia dikunci selepas kes didaftarkan terhadapnya bersama Maroof dan Kshitij mengikut beberapa peruntukan Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).Sementara itu, Yadav menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang kecuaian, tekanan pihak luar atau penyalahgunaan jawatan dalam perkara berkaitan undang-undang dan ketenteraman awam."Siasatan peringkat tinggi yang bebas akan dijalankan terhadap keseluruhan perkara ini dan tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah akan dipastikan," katanya menerusi hantaran di X.Ketua Polis Jabalpur Range, Pramod Kumar Verma turut mengarahkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes tersebut. -Agensi