SEKURANG-kurangnya lima individu dilaporkan maut disyaki dijangkiti Sindrom Guillain-Barre (GBS), penyakit saraf yang menyebabkan penghidapnya lumpuh. Penyakit tersebut mula merebak di negeri Maharashtra, barat India, dengan kini merekodkan peningkatan kepada 163 kes. Kerajaan negeri melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 21 pesakit memerlukan sokongan ventilator, dan 48 yang lain sedang menerima rawatan intensif di hospital. GBS adalah penyakit saraf yang memberi kesan kepada deria, pergerakan, pernafasan dan degupan jantung manusia. Penyakit ini berlaku apabila sistem imun tubuh menyerang saraf, yang boleh menyebabkan lumpuh serta kematian. Gejala awal GBS termasuk kebas pada kaki serta tangan, diikuti dengan lemah otot dan kesukaran menggerakkan sendi. Agensi kesihatan melaporkan bahawa walaupun kebanyakan individu pulih sepenuhnya daripada kes GBS yang teruk, ada juga yang terus mengalami kelemahan otot selepas sembuh. Di United Kingdom (UK), dianggarkan 1,500 kes GBS dilaporkan setiap tahun. Sementara itu di Assam, seorang gadis berusia 17 tahun antara yang terkorban disyaki akibat GBS di sebuah hospital swasta minggu lalu. Bagaimanapun, kerajaan negeri Assam belum mengeluarkan maklumat terkini mengenai kes tersebut. Pihak berkuasa India kini sedang memantau situasi wabak ini dengan teliti dan terus memberikan sokongan rawatan kepada pesakit yang terjejas.