Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian susulan kematian 'misteri' seorang pemuda yang temui ajal selepas menyambut tahun baharu. -Foto Thaiger
SEORANG pemuda ditemukan maut dengan kesan kecederaan parah di dada, selepas pulang meraikan tahun baharu bersama rakan-rakan. Mayat mangsa yang dikenali sebagai Suwat, 29, ditemukan sekitar pukul 6 pagi Rabu, di rumah seorang rakannya di Amphawa, Thailand, dengan luka seperti tusukan, lapor Thaiger. Menurut polis, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dan rakan-rakannya berkumpul sekitar pukul 8 malam Selasa untuk meraikan tahun baharu. Suwat yang berjanji kepada ibunya untuk pulang selepas selesai meraikan tahun baharu, bergerak pulang sekitar pukul 3 pagi. Bagaimanapun, saksi dikenali sebagai Thipawan yang juga rakan Suwat memaklumkan, mangsa kembali semula ke rumahnya pada pukul 6 pagi dengan menunggang motosikal sebelum terbaring di luar. Dia dan rakan-rakan lain segera memeriksa dan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa, tidak lama kemudian. Rakan-rakan mangsa percaya dia kembali untuk mendapatkan bantuan sebelum meninggal dunia akibat kecederaannya. Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Polis ketika ini sudah mendapatkan keterangan daripada 10 individu bagi membantu siasatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube