suria

Empat hari terperangkap dalam perigi sedalam 24 meter, kanak-kanak lelaki ‘ditemani’ ular, katak

Rahul akhirnya berjaya diselamatkan selepas empat hari terperangkap di dalam perigi sedalam 24 meter.

BERPANTANG maut sebelum ajal!

Itulah pepatah yang sesuai bagi menggambarkan situasi yang dilalui oleh seorang kanak-kanak lelaki ini, apabila dia terselamat selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 80 kaki (24 meter).

Rahul Sahu, 11, dipercayai terjatuh ke dalam perigi tersebut ketika bermain di halaman belakang rumahnya yang terletak di daerah Janjgir-Champa di Chhattisgarh, India.

Bukan sehari, tetapi Rahul, kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran, terperangkap di dalam perigi itu selama empat hari.

Sepanjang tempoh tersebut, dia 'ditemani' ular dan katak.

Pasukan penyelamat terpaksa menggali terowong selebar beberapa kaki di sebelah telaga dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

Usaha menyelamat juga beberapa kali tertangguh akibat cuaca buruk dan penemuan ular berbisa dan kala jengking ketika proses penggalian terowong dijalankan.

Bagaimanapun selepas 105 jam berusaha, Rahul akhirnya berjaya ditarik keluar dari perigi pada pukul 11 malam, Selasa lalu.

Kanak-kanak tersebut segera dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans yang sudah menunggu di tempat kejadian. - Metro.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain