suria

Berwajah seperti manusia tapi berekor, misteri mumia ‘ikan duyung’ bakal dibongkar saintis

Mumia itu kini berada di sebuah kuil di bandar Asakuchi.

MUMIA kuno satu makhluk yang menyerupai ikan duyung yang ditemui sekitar abad ke-18, akan dianalisa oleh saintis.

Makhluk itu dengan wajah yang kelihatan seperti manusia namun mempunyai ekor, telah membingungkan pakar selama berabad lamanya.

Ia didakwa ditangkap di Lautan Pasifik, di luar pulau Shikoku, Jepun, antara tahun 1736 dan 1741.

Kini ia berada di sebuah kuil di bandar Asakuchi.

Penyelidik dari Universiti Sains dan Seni Kurashiki telah mengambil mumia tersebut untuk menjalankan 'CT scan' dalam usaha untuk membongkar misterinya.

Hiroshi Kinoshita dari Persatuan Cerita Rakyat Okayama (Okayama Folklore Society) berkata mumia tersebut mempunyai signifikan dari sudut agama.

"Ikan duyung Jepun mempunyai legenda keabadian.

"Dikatakan bahawa jika anda makan daging ikan duyung, anda tidak akan mati. Terdapat legenda di banyak tempat di Jepun bahawa seorang wanita secara tidak sengaja memakan daging ikan duyung dan hidup selama 800 tahun," katanya.

Tidak jelas bagaimana atau bila mumia tersebut berada di kuil Enjuin di Asakuchi.

Tetapi ketua paderi, Kozen Kuida, berkata ia telah dipamerkan dalam bekas kaca kira-kira 40 tahun lalu dan kini disimpan dalam peti besi kalis api.

"Kami telah menyembahnya, berharap ia akan membantu mengurangkan wabak Covid-19 walaupun hanya sedikit," katanya kepada The Asahi Shimbun, sebuah akhbar Jepun.

Para saintis akan mendedahkan penemuan mereka selepas selesai menganalisa mumia kuno tersebut. - Metro.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain