suria

Kartel dadah rekrut kanak-kanak jadi mata-mata melalui permainan video

Kartel dadah rekrut kanak-kanak jadi mata-mata melalui permainan video. (Gambar File)

KARTEL dadah di Mexico dilaporkan aktif merekrut golongan muda melalui permainan video dalam talian.

Penolong Setiausaha Keselamatan Awam Mexico, Ricardo Mejía berkata, seorang perekrut kartel telah membeli tiket bas untuk tiga orang kanak-kanak lelaki berusia di antara 11 dan 14 tahun.

Katanya kanak-kanak lelaki tersebut berkenalan dengan perekrut tersebut di platform permainan dalam talian "Free Fire," yang juga dikenali sebagai "Garena Free Fire."

Perekrut menjanjikan AS $200 setiap minggu untuk bekerja di utara Mexico sebagai mata-mata bagi kartel dadah tersebut.

Kanak-kanak lelaki itu ditemui sebelum sempat mereka menaiki bas di selatan Oaxaca.

Mejia berkata, kartel lain turut menggunakan cara yang sama iaitu dengan menghubungi pemain melalui permainan dalam talian dan sembang di platform permainan, termasuk "Call of Duty," "Gears of War" dan "Grand Theft Auto V."

Kanak-kanak pertama dihubungi perekrut pada bulan Ogos, dan dia kemudian memberitahu dua lagi rakannya yang bersetuju untuk menerima tawaran itu.

Seorang wanita ditahan kerana membelikan mereka tiket untuk ke bandar utara Monterrey dengan menggunakan nama palsu.

Mejia tidak menamakan kartel yang terlibat, tetapi mengatakan kes serupa berlaku pada bulan September dengan percubaan pengambilan secara dalam talian oleh Cartel del Noreste, yang merupakan sisa dari kartel Zetas lama.

Jaringan Hak Kanak-kanak di Mexico melaporkan terdapat 21,000 kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun dibunuh di Mexico manakala 7,000 lagi hilang diantara tahun 2000 dan 2019.

Kumpulan itu menganggarkan terdapat kira-kira 30,000 golongan muda telah direkrut kartel dadah pada tahun 2019. - AP

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

kartel, dadah, pemainan video, mata-mata

Artikel Lain