suria

Kecoh! Remaja terpaksa diikat guna pita pelekat gara-gara cuba tendang tingkap pesawat, serang ibu sendiri

Kelihatan kru kabin sedang melilit remaja berkenaan menggunakan pita pelekat dengan bantuan beberapa penumpang. Foto: NC

SATU rakaman video yang tular menunjukkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun terpaksa 'diikat' di tempat duduknya ketika berada dalam sebuah pesawat American Airlines.

Remaja yang tidak disebutkan namanya itu dilaporkan cuba menendang tingkap dan menyerang ibunya ketika pesawat tersebut dalam penerbangan antara Maui dan Los Angeles, lapor CBSN.

Dalam klip video yang dirakam penumpang lain menggunakan telefon bimbit, kelihatan seorang kru kabin lelaki sedang mengikat remaja tersebut di tempat duduknya dengan bantuan dua penumpang lain.

Setelah melilit tubuh remaja tersebut menggunakan pita pelekat, kru kabin itu kemudian menuju ke belakang sebelum kembali beberapa saat kemudian dengan segulung lagi pita pelekat.

Pesawat Airbus A321 itu berlepas pada pukul 12.44 malam dan remaja itu dikatakan mula mencetuskan kekecohan selepas satu jam penerbangan, yang menyaksikan pesawat terpaksa mengubah haluan ke Honolulu.

Tiada individu yang cedera dalam insiden tersebut, manakala remaja berkenaan ditahan untuk tidakan lanjut, lapor satu saluran berita. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain