suria

Cuba lagak seperti ‘Egg Boy’, remaja gurau mahu lempar telur pada menteri

Gambar sekadar hiasan.

SEORANG lelaki yang memuat naik komen di Facebook mahu membaling sebiji telur kepada Menteri Hai Ehwal Negeri dan Undang-Undang di Singapura, K. Shanmugam, memberitahu bahawa ia hanyalah gurauan.

Edmund Zhong, 20, pada Selasa berkata, dia tidak mempunyai niat jahat dan tiada perancangan untuk melakukan perkara tersebut.

"Saya hanya sekadar bergurau, berdasarkan berita-berita mengenai senator Australia," katanya yang merujuk kepada senator Australia, Fraser Anning.

Anning, mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan umat Islam dalam insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand.

Dalam satu kejadian di sebuah majlis di Melborune pada 16 Mac lalu, Australia, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bertindak melemparkan sebiji telur ke kepalanya.

Zhong membuat komen itu pada perkongsian mengenai Anning di Facebook Channel Newsasia, dengan berkata: "Saya mahu melakukannya pada K. Shanmugam. Saya bersumpah."

Polis pada Isnin lalu berkata, laporan telah dibuat terhadap Zhong berhubung komen berkenaan. Dia bersama seorang lelaki berusia 47 tahun membantu siasatan bagi kesalahan menghasut keganasan di bawah Seksyen 267C Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 267C, sebarang pelanggaran undang-undang itu boleh dihukum denda dan sehingga penjara lima tahun.

Zhong berkata: "Saya hanya mengulas untuk menarik pautan berdasarkan konteks tempatan, dan kemudian lelaki lain hanya menokok tambah. Saya langsung tidak kenal lelaki itu."

Menurutnya, polis mengambil kenyataannya pada Selasa, dan memberitahu bahawa dia tidak mempunyai niat lain untuk membuat komen itu, melainkan sekadar hiburan. - The Straits Times/Asia News Network

Artikel Lain