suria

Banduan guna bangkai tikus seludup dadah masuk penjara

Kesan jahitan yang terdapat pada bangkai tikus itu. - Sky News

BANGKAI tikus digunakan sebagai taktik baharu banduan menyeludup masuk dadah ke dalam sebuah penjara di England.

Tiga bangkai tikus dijumpai di dalam kawasan pagar HMP Guys Marsh di Dorset dan dipercayai merupakan kes pertama seumpamanya dilaporkan.

Kakitangan yang mengawal penjara membuka bangkai tikus itu selepas mendapati ada jahitan pada bahagian perut haiwan tersebut.

Mereka mendapati isi dalaman tikus itu sudah dikeluarkan dan digantikan dengan lima telefon bimbit dan pengecas telefon, tiga kad sim, kertas rokok, dan dadah termasuk rempah dan kanabis.

Hasil rampasan yang ditemui dalam perut bangkai tikus itu. - Sky News

Bangkai tikus itu dicampak keluar daripada pagar penjara dan seorang banduan menunggu untuk mengutipnya, menurut Menteri Keadilan negara berkenaan.

Sepanjang tempoh 12 bulan hingga Mac 2018, terdapat 13,119 insiden di mana dadah dijumpai di dalam penjara di England dan Wales.

Jumlah itu meningkat sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah telefon bimbit yang ditemui di penjara meningkat sebanyak 15 peratus kepada 10,643 pada 2017 dan 2018. - Sky News

seludup dadah

Artikel Lain