suria

Hukuman penjara 14 tahun jika kongsi, sebar manifesto Tarrant

NEW Zealand mengharamkan pemilikan 74 muka surat manifesto yang ditulis pengganas warga Australia yang membunuh 50 jemaah di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu.

Larangan yang dikuatkuasa pada Sabtu itu bermaksud sesiapa sahaja yang menyimpan dokumen tersebut pada komputer mereka boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun.

Sementara itu, bagi mereka yang menyebarkan dokumen tersebut boleh dihukum penjara 14 tahun.

Ketua Penapisan David Shanks berkata manifesto yang tulis Brenton Tarrant mengandungi justifikasi terhadap tindakan kejam seperti pembunuhan kanak-kanak dan menggalakkan perbuatan keganasan.

Malah manifesto itu turut menggariskan lokasi tertentu untuk dijadikan sasaran dan kaedah melakukan serangan.

Brenton Tarrant.

Katanya tindakan mengharamkan pemilikan dokumen itu dilakukan kerana bimbang ia akan menarik lebih banyak perhatian terhadap perkara tersebut.

"Jadi kami memutuskan untuk mengharamkannya sama seperti propaganda dari kumpulan pengganas IS," katanya.

Shanks turut mengharamkan penstriman langsung video berdurasi 17 minit yang merakamkan insiden pembunuhan kejam dilakukan Tarrant.

Video itu dirakam menerusi kamera yang dipasang pada helmet yang dipakaikan semasa serangan kejam berkenaan.

Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan kerana mengedarkan rakaman video menyayat hati itu.

Sekurang-kurang 50 maut dalam serangan di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu.

Tarrant kemudian didakwa atas pertuduhan membunuh pada 16 Mac lalu. - Metro.co.uk

Artikel Lain