suria

Penumpang cemas, terjun pesawat selepas dengar bunyi letupan

Semua penerbangan dihentikan buat sementara waktu selepas insiden itu.

RAKAMAN dramatik menunjukkan penumpang panik menggunakan gelongsor kecemasan untuk keluar daripada pesawat yang terpaksa dibatalkan pelepasannya.

Video tersebut yang dipercayai dirakam di Lapangan Terbang Stansted, London turut mempaparkan orang ramai berlari di atas landasan dalam keadaan gelap dengan bunyi siren kedengaran selepas kakitangan dilaporkan meminta semua penumpang mengosongkan pesawat itu.

Ada di antara mereka yang masih membawa bersama beg tangan masing-masing selepas meluncur keluar dari pesawat tersebut.

Kerlipan lampu dapat dilihat datang dari pesawat tersebut selepas kenderaan perkhidmatan kecemasan tiba di lokasi kejadian.

Beberapa penumpang turut berkumpul dekat pesawat selepas berjaya keluar sementara penumpang lain berada agak jauh dari lokasi kejadian.

Semua penumpang panik berjaya keluar dari pesawat.

Pesawat lain turut tidak dibenarkan terbang selama lebih dua jam malam Jumaat selepas insiden yang mengakibatkan lapan orang mengalami kecederaan ringan.

Penumpang di pesawat Laudamotion yang dijadualkan berlepas ke Vienna didakwa terdengar bunyi letupan susulan jeritan anak kapal ketika pesawat membawa seramai 169 penumpang itu mahu berlepas kira-kira pukul 8 malam.

Salah seorang anak kapal menjerit 'kosongkan pesawat' dan 'terjun' selepas penumpang terdengar bunyi letupan.

Semua penumpang dilaporkan panik susulan bunyi letupan tersebut.

Penumpang lain turut dilaporkan melihat percikan api ketika pesawat hendak berlepas sebelum dihentikan daripada terbang selepas dipercayai mengalami masalah enjin. - Mirror.co.uk

gelongsor, letupan, pesawat

Artikel Lain