suria

Ahli Parlimen letak jawatan gara-gara 'curi' sandwich

AHLI Parlimen Slovenia meletak jawatan setelah mencuri sandwich dari sebuah kedai akibat tidak dilayan pekerja premis itu.

Darij Krajcic berkata, kehadirannya tidak dipedulikan tiga pekerja kedai di Ljubljana yang ketika itu asyik bersembang.

"Saya sendiri hampir tiga minit di kaunter, namun tidak dilayan," kata bekas profesor itu.

Pemimpin politik berusia 54 tahun itu kemudian mengambil keputusan menguji 'tahap pemerhatian' pekerja terbabit.

Menurut Krajcic, tiada sesiapa menahannya ketika dia berlalu keluar dari kedai tersebut dengan sandwich yang belum dibayar.

Ahli Parti Marjan Sarec List (LMS) itu bagaimanapun mendakwa dia kembali semula ke kedai itu untuk membayar harga sandwich berkenaan.

Ketika menceritakan hal itu kepada ahli partinya, ia dianggap cerita lucu, bagaimanapun Ketua LMS di Parlimen, Brane Golubovic berpendapat tindakan Krajcic tidak boleh diterima.

Susulan itu, Krajcic meletak jawatan secara sukarela dan turut memohon maaf serta menyesal kerana melakukan 'eksperimen sosial' seumpama itu. - bbc.com

Slovenia, Krajcic

Artikel Lain