suria

Robot layan pelanggan kafe 12 jam sehari, siap melawak lagi!

ROBOT di Kafe Enjoy Budapest sememangnya serba boleh - dari menghidangkan makanan dan minuman, menari dengan kanak-kanak, bersembang dengan pelanggan, malahan boleh melawak lagi!

Kafe yang dibuka oleh syarikat teknologi maklumat, E-Szoftverfejleszto di ibu negara Hungary itu dilengkapi dengan sekumpulan pekerja dalam kalangan robot.

Pekerja unik itu ditempatkan di kafe berkenaan untuk membiasakan orang awam dengan revolusi teknologikal dalam automasi dan kecerdasan buatan.

Pelayan robot akan menghidangkan makanan dan minuman yang dipesan pelanggan dengan syarat tiada halang sepanjang laluan robot berkenaan.

Ada juga robot yang boleh menghiburkan pelanggan dengan menari, seperti Pepper yang juga penyambut tetamu di kafe berkenaan.

Dibangunkan syarikat Jepun, Softbank, Pepper diubahsuai supaya dapat mendengar percakapan pelanggan dalam suasana bising, demikian kata pemilik kafe Tibor Csizmadia.

Pelanggan dalam talian yang menilai perkhidmatan robot berkenaan tertarik dengan penampilan Pepper, selain cara rakan-rakan pelayan lain yang begitu bersahaja melayan pelanggan.

Walaupun menggunakan robot untuk memastikan operasi kafe berkenaan berjalan lancar, tiada manusia yang diberhentikan kerja.

"Malahan, kami terpaksa menambah sekali ganda kakitangan dalam kalangan pakar IT untuk memastikan 16 ke 20 robot itu dapat beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam," kata Csizmadia. -IndiaToday



robot, enjoy, Budapest

Artikel Lain