suria

Penutup enjin pesawat tercabut semasa berlepas, penumpang hubungi keluarga gara-gara panik

PENUMPANG di dalam sebuah pesawat berdepan detik cemas apabila penutup ejin pesawat yang mereka naiki tercabut semasa berlepas.

Pesawat Frontier Airlines yang membawa 166 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan ke Tampa, Florida pagi Sabtu ketika insiden itu berlaku.

Salah seorang penumpang, Jazmin Pedraza berjaya merakam detik cemas itu.

"Ketika pesawat bersedia untuk berlepas, beberapa serpihan penutup enjin berterbangan dan enjin terbakar sedikit.

"Salah seorang lelaki berteriak dan disusuli teriakan orang ramai untuk mendapatkan bantuan. Mereka turut menekan butang kecemasan meminta agar pesawat itu dihentikan.

"Sebaik sahaja teriakan kami mendapat perhatian seorang anak kapal, dia datang dan menjenguk ke luar tingkap untuk melihat apa yang berlaku.

"Kemudian pramugari memaklumkan perkara itu kepada juruterbang dan menenangkan semua penumpang," katanya.

Pedraza berkata semua penumpang mula membuat panggilan telefon kepada keluarga masing-masing.

"Kedengaran suara tangisan penumpang. Kami semua panik apabila juruterbang memaklumkan pesawat akan melakukan pendaratan kecemasan.

"Kami berada di udara selama 10 hingga 15 minit sebelum pesawat berjaya mendarat," katanya.

Tiada kecederaan dilaporkan dan pesawat itu mendarat di Las Vegas pada pukul 7.26 pagi Sabtu (waktu tempatan), kira-kira 15 minit selepas berlepas.

Jurucakap Lapangan Terbang Antrabangsa McCarran, Christine Crews berkata kakitangan kecemasan menjumpai serpihan penutup enjin di atas landasan.

Penumpang pesawat tersebut turut diberi pilihan sama ada mendapatkan bayaran balik wang pembelian tiket atau menjadualkan semula penerbangan mereka. - Metro.co.uk

enjin, pesawat

Artikel Lain