suria

Priyanka-Nick Jonas pilih istana maharaja Jodhpur, langsungkan majlis perkahwinan secara tertutup

MUMBAI: Perkahwinan bintang Bollywood, Priyanka Chopra dengan penyanyi kelahiran Amerika Syarikat, Nick Jonas dilangsungkan dengan kawalan ketat di sebuah istana mewah di India.

Lokasi majlis itu, Istana Umaid Bhavan di Jodhpur, ditutup kepada orang luar, manakala pihak media tidak dibenarkan mendekati kawasan itu.

Sedikit mengenai binaan yang didiami maharaja Jodhpur itu, ia dilengkapi 347 bilik dengan sebahagiannya turut dihias menggunakan emas dan karya seni seniman Poland, Stefan Norblin.

Arkitek Britain, Henry Lancaster merekabentuk istana ini pada 1929 khusus untuk Maharaja Umaid Singh.

Bagaimanapun, tindakan jurugambar yang tetap mahu merakam saat bersejarah pasangan terkenal itu telah mencetuskan ketegangan.

Situasi itu menyebabkan polis  terpaksa campur tangan selepas pengawal keselamatan pasangan itu bergaduh dengan jurugambar yang cuba merakamkan gambar lokasi.

Majlis pada Sabtu itu dijalankan mengikut upacara Kristian dan hanya dihadiri keluarga serta rakan rapat, demikian menurut majalah People.

Pasangan pengantin dan tetamu majlis perkahwinan memakai pakaian yang direka Ralph Lauran, kata jenama berkenaan dalam akaun Twitter.

Perkahwinan itu dirasmikan bapa pengantin lelaki, Paul Kevin Jonas, menurut People.

Pada Ahad pula, pasangan itu dijadualkan  berkahwin mengikut adat tradisi Hindu, manakala resepsi di New Delhi dirancang diadakan minggu depan.

Chopra, 36, yang membintangi tiga musim drama jenayah terbitan ABC, ‘Quantico’ ialah antara pelakon utama wanita Bollywood dengan beberapa filemnya mencatat kutipan tinggi.

Nick Jonas, 26, dan dua saudara lelakinya, Kevin dan Joe, menubuhkan kumpulan The Jonas Brothers pada 2005 dan mula terkenal sebagai anggota bintang remaja Disney.

Kumpulan itu berpecah pada 2013. — Reuters




Priyanka, Nick Jonas, Jodhpur

Artikel Lain