suria

Polis giat buru penjenayah paling cantik di China

SEORANG suspek wanita yang diburu polis barat daya China telah dilabel sebagai penjenayah tempatan paling cantik selepas gambarnya tular di media sosial.

Poster Qingchen Jingjing yang dikehendaki, telah diedarkan polis di bandar Mianyang, wilayah Sichuan pada Selasa.

Jingjing dituduh kerana menjadi sebahagian daripada geng jenayah yang menipu wang pelanggan di bar dan rumah teh, menurut notis yang dimuat naik di Weibo.

Usia dan pekerjaannya belum disahkan walaupun bekas rakan sekerjanya menyatakan tahanan itu berusia sekitar 19 tahun.

Dua anggota geng yang terdiri daripada tujuh orang itu telah menyerah diri tetapi Jingjing masih hilang, demikian menurut sumber polis yang dipetik dalam The Beijing News pada Ahad.

Polis mula menyiasat kegiatan kumpulan samseng itu apabila seorang lelaki mengadu ditipu sebanyak beribu-ribu dolar Amerika di sebuah bar di bandar berkenaan.

Pihak polis kemudian membuat kesimpulan bahawa kumpulan itu telah beroperasi sekurang-kurangnya selama enam bulan dan menyasarkan pemabuk.

Selepas gambar Jingjing tular, akaun Weibo polis berkata: "Menjadi cantik bukan masalah anda, tetapi menggunakan rupa paras anda untuk melakukan jenayah haram adalah tidak betul."

Seseorang yang mendakwa mengenali Jingjing kerana belajar di sekolah menengan sama memberitahu The Beijing News mengenai remaja yang dikenali ramai dengan jolokan 'ratu kelas' dan popular dalam kalangan lelaki.

Seorang lagi yang mendakwa sebagai bekas rakan sekerjanya di sebuah syarikat mengatakan bahawa Jingjing adalah seorang yang berfikiran terbuka dan bangga dengan penampilannya.

"Dia dilahirkan pada 1999, dan beberapa rakan sekerja yang lebih tua menganggap dia seorang anak yang diabaikan," kata rakan sekerja itu kepada Thecover.cn.

"Apabila dia berhenti kerja, katanya sedang bercuti ke luar negara bersama teman lelakinya."

Pengguna Weibo juga memberi komen mengenai rupa paras Jingjing

"Dia boleh mendapatkan banyak wang dengan menjadi 'livestreamer' daripada menjadi seorang penipu di bar, ia adalah kerja yang sukar," baca satu komen teratas di Weibo.

"Dia mungkin seorang sahaja di China yang mahukan gambarnya tersebar," kata yang lain.

Populariti Jingjing yang tidak disengajakan ini umpama Jeremy Meeks, yang dikatakan sebagai 'penjenayah terkacak' yang terkenal di dunia.

Meeks, bekas ahli kumpulan Crips yang terkenal di California, telah ditahan polis pada 2014 kerana kesalahan memiliki senjata api dan mencuri.

Gambarnya tular selepas ia dimuat naik oleh akaun Facebook polis dan selepas dibebaskan pada 2016, Meeks mulakan kerjaya sebagai eorang model.

Jingjing, China

Artikel Sebelum

Berpantang maut sebelum ajal

Artikel Lain