suria

Seperti filem Home Alone, kanak-kanak 5 tahun 'ditinggal' keluarga di lapangan terbang

Situasi yang berlaku pada kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan keluarganya, seperti babak dalam filem Krismas popular pada 1990an, Home Alone. Foto Publicity Picture

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terkandas di lapangan terbang di Jerman, selepas ditinggalkan keluarganya.

Seperti babak filem Home Alone yang pernah popular suatu ketika dulu, keluarga berkenaan bergegas untuk pulang ke rumah selepas bercuti.

Keluarga tersebut menaiki dua teksi, dengan ibu bapa kanak-kanak itu beranggapan anaknya berumur lima tahun bersama mereka.

Menurut polis Stuttgart, Jerman, beberapa orang menyaksikan kanak-kanak berkenaan berjalan bersendirian di balai ketibaan lapangan terbang.

Walaupun pengumuman dibuat menerusi sistem interkom lapangan terbang, tiada ibu bapa yang tampil ke kaunter pertanyaan untuk menuntut anak perempuan mereka yang hilang.

Polis bagaimanapun menerima panggilan daripada ibu kanak-kanak itu selepas anggotanya membawa mangsa ke balai polis.

Ibu mangsa menjelaskan bahawa keluarganya pulang daripada bercuti di luar negara dan menaiki dua kenderaan berasingan setibanya di lapangan terbang untuk ke rumah.

Menurut polis, ibu bapa mangsa menyangka antara mereka telah mengambil anak perempuan itu bersama-sama di dalam kereta.

Situasi tersebut mengimbas kembali babak dalam filem Krismas yang ditayangkan pada awal 1990an bertajuk Home Alone, di mana pelakon Macaulay Culkin memainkan peranan sebagai kanak-kanak hilang bernama Kevin McCallister.

Menerusi filem pertama Home Alone, ibu bapa Kevin terbang ke Paris, Perancis tanpa menyedari anak lelaki mereka masih di rumah di Chicago, Amerika Syarikat, manakala sekuelnya, Home Alone 2, memaparkan Kevin secara tidak sengaja tersilap menaiki penerbangan ke New York, selepas terlepas daripada pandangan keluarganya di lapangan terbang. - Mirror Online


Home Alone

Artikel Lain