suria

Meghan Markle pernah buat 10 kerja 'biasa' untuk bayar bil, termasuk jual yogurt

MEGHAN Markle, yang tidak lama lagi akan menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Britain, tidak perlu lagi bimbang tentang wang.

Bukan hanya kerana tunangnya, Putera Harry, mempunyai harta sekurang-kurangnya bernilai AS$25 juta, menurut Money, tetapi Markle juga sudah cukup mewah dengan hartanya sendiri.

Menurut Fortune, Markle dibayar AS$50,000 setiap episod untuk peranannya dalam drama Suits yang memberikannya pendapatan berjumlah sekitar AS$450,000 setahun.

Tetapi kewangan Markle sebelum ini tidaklah begitu kukuh.

Dia pernah bekerja 'biasa-biasa' sahaja sebelum mendapat peranan dalam Suits dan sebelum bertunang dengan Putera Harry.

Dalam biografi mengenai Markle, 'Meghan: A Hollywood Princess', penulis menulis bahawa Markle juga berjuang untuk mendapatkan wang sebelum memulakan karier dalam bidang lakonan.

Berikut adalah beberapa pekerjaan 'biasa' Markle sebelum ini:

Penjual yogurt


Untuk pekerjaan yang pertama, Markle pada usia 13 tahun menjual yogurt beku di sebuah kedai di California - Humphrey Yogart.

"Dia mendapat gaji minimum dan sangat popular dalam kalangan pelanggan," kata bekas bosnya, Paula Sheftel, kepada Mirror.

"Dia perlu buktikan dia mempunyai keperibadian luar biasa dan bekerja dengan baik dengan rakan sekerja lain."

Dalam tweet pada 2014 dia menceritakan kisah bertemu dengan salah seorang idolanya, pelakon Baywatch, Yasmine Bleeth, di tempat letak kereta kedai yogurt beku yang sama.

Berlakon 30 saat dalam 'Hot Girl'


Markle mempunyai adegan pendek dengan Ashton Kutcher dalam filem 'A Lot Like Love' pada 2005 dan wataknya hanya dikreditkan sebagai 'gadis panas'.

Dalam adegan itu Markle berkata 'hai' kepada Kutcher ketika dia duduk di sebelahnya di atas kapal terbang dan kemudian berinteraksi ringkas dengan seorang lelaki berdekatan.

Menurut biografi, Markle sepatutnya hanya bercakap perkataan 'hai' tetapi dia meyakinkan pengarah untuk mendapat 'lebih', lapor Money.

Penulis kaligrafi bebas

Markle mempunyai kecenderungan untuk menguasai bidang dan kemahiran ini sejak kecil yang kemudiannya berubah menjadi sesuatu yang menguntungkan apabila dia dewasa.

Menjadi penulis kaligrafi bebas adalah sangat menguntungkan kata Markle kepada Esquire pada 2013 kerana tak ramai yang melakukannya.

Mengajar di stor alat tulis


Sebagai tambahan kepada kerja bebasnya, Markle mengajar kelas dua jam mengenai seni kaligrafi di stor Paper Source di Beverly Hills.

"Ia adalah pekerjaan sambilan kerana dia sedang menjalani uji bakat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Paper Source, Winnie Park kepada People.

"Dia mengajar kaligrafi dan menjadi penyambut sekumpulan pelanggan dan mengajar mereka dalam kelas dua jam mengenai cara menulis kaligrafi.

"Dia juga mengetuai kelas membalut hadiah dan mengikat buku."

Model beg 'game show'


Markle pernah bekerja dalam satu rancangan permainan yang mana dia menjadi model beg bimbit.

Pada tahun 2006, dia menyertai rancangan 'Deal or No Deal' dan menjadi sebahagian daripada sekumpulan wanita yang tugasnya memakai pakaian yang sesuai dan memegang beg bernombor.

Para peserta terpaksa meneka beg mana yang mungkin mengandungi AS$1 juta.

Walaupun Markle dilaporkan dibayar agak mahal, seorang rakan sekerja memberitahu Money bayaran AS$800 untuk satu episod nampaknya tidak berjaya membuatkan dia sukakan pekerjaan itu.

"Sudah pasti bekerja di 'Deal or No Deal' adalah pengalaman pembelajaran dan ia membantu saya memahami apa yang saya lebih suka buat," katanya dalam temubual dengan Esquire pada 2013.

Dia menambah bahawa banyak masanya dalam rancangan itu dihabiskan dengan berdiri memakai kasut tumit lima inci yang tidak selesa dan murah hanya untuk menunggu seseorang memilih nombornya supaya dia boleh berlalu dan duduk.

Pelayan restoran

Markle mempunyai sekurang-kurangnya satu pekerjaan yang dianggap 'tradisional' untuk seorang pelakon yang bercita-cita tinggi.

Salah satu daripada pekerjaan yang dilakukan untuk membayar bil adalah bekerja sebagai pelayan wanita di sebuah restoran, dia memberitahu Vanity Fair.

Malangnya, tidak ada butiran lain tentang bila dan restoran mana Markle bekerja.

Berlakon iklan komersil Tostitos

Insider sebelum ini melaporkan bahawa Markle membintangi komersil Tostitos pada 2009.

Blogger gaya hidup

Antara 2014 dan 2017, Markle mengendalikan satu blog gaya hidup yang dipanggil The Tig, yang memberi tumpuan kepada makanan, perjalanan, fesyen dan kecantikan.

Seperti wataknya dalam Suits Markle selalu berkata bahawa dia 'gemar makan'. Dalam temu bual pada 2016 dengan Ebony, Markle berkata dia berharap The Tig akan menjadi seperti 'kawan yang sentiasa ada untuk anda, satu tempat yang hebat yang membuatkan anda berasa seronok'.

Pada April 2017, setelah hubungan Markle dan Putera Harry bukan lagi rahsia, Markle menutup The Tig, mengucapkan selamat tinggal kepada blog tersebut.

Peminat Tori Amos dalam video muzik

Markle pernah muncul sebagai peminat dalam video muzik Tori Amos untuk 1,000 Oceans.

Money melaporkan bahawa dia dibayar AS$600 untuk pertunjukan itu.

Anda boleh melihat Markle di sebelah kiri dalam video sambil menatap Amos ketika penyanyi itu melakukan persembahan dalam kotak kaca yang dikelilingi peminat yang menyanjungnya.

Reka pakaian


Markle mencipta satu koleksi pakaian dalam kerjasamanya  dengan Reitmans pada 2016.

Empat pakaian musim bunga telah direka dengan setiap satunya berharga kurang dari AS$100.

Markle juga mencipta koleksi baju kerja dengan peruncit Kanada.

Meghan Markle

Artikel Berikut

Artikel Lain