suria

Tiada lagi Kentut selepas 30 tahun

SEMEMANGNYA nama itu sesuatu yang istimewa buat setiap individu dan kerana sayangnya kepada anak, seorang bapa rela menukar namanya.

Dilahirkan dengan nama Kentut, seorang penjual mi di Tangerang secara rasmi menukar namanya kepada Ihsan Hadi.

Segala-galanya kerana anak lelakinya yang berusia tujuh tahun malu dengan nama ayahnya itu.

Kata Ihsan, anaknya sering kali enggan ke sekolah kerana selalu diejek kawan-kawannya kerana namanya itu.

Beliau yang tidak tahu kenapa dinamakan Kentut ketika lahir di Solo, Jawa Tengah pada 1988 telah membuat keputusan untuk menukar namanya.

Tambah Ihsan, sejak kecil lagi dia mahu mengubah namanya tetapi tiada sesiapa di kampungnya yang tahu prosedurnya.

"Saya memang mahu menukar nama sejak berusia enam tahun, bagaimanapun tiada siapa pun di kampung saya di Solo yang tahu mengenai prosedurnya, jadi saya terus hidup dengan nama itu," katanya dipetik tribunnews.com.

Ihsan yang menetap di Tangerang sejak 10 tahun lalu bersama isteri dan tiga anaknya telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Daerah Tangerang pada Isnin.

Mahkamah kemudiannya telah membenarkan permohonan itu dan akan mengeluarkan surat rasmi minggu depan.

Kentut, Ihsan

Artikel Berikut

Ibu 'teman' ketika kerja

Artikel Lain