suria

Pesakit Kanser Tahap 4 Disuruh Tidur Di Koridor Hospital

-foto Liverpool Echo/metro UK

SEORANG warga emas yang menghidap kanser paru-paru tahap 4 terpaksa tidur di koridor unit kecemasan hospital.

Wakil keluarga wanita yang berumur 70-an itu berkata pesakit berkenaan terpaksa menunggu selama lebih dari 20 jam untuk mendapatkan katil di Hospital Aintree University, Liverpool.

Mereka menggambarkan tempat kejadian sebagai 'zon perang' dan 'berasa jengkel dengan kelewatan', terutama selepas terpaksa menunggu selama enam jam untuk ambulans datang.

"Doktornya memanggil ambulans dan dia perlu menunggu selama enam jam.

"Apabila dia tiba di sini, dia dibawa ke koridor dan diberi ubat tahan sakit tetapi perlu menunggu wad.

"Saya tahu NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) sedang berdepan masalah tetapi ini tidak sepatutnya berlaku. Ia begitu teruk. Ia kelihatan seperti sesuatu yang anda lihat dalam zon perang," kata ahli keluarganya.

Wakil keluarganya, yang enggan mendedahkan identiti berkata mereka sekeluarga terpaksa berdepan dengan khabar duka bahawa salah seorang ahli keluarga mereka dalam keadaan kritikal dan mengganggap keadaan itu sebagai 'tidak dapat diterima'.

"Doktor dan jururawat ada di situ dan memberikan ubat tahan sakit, tetapi mereka mendapat banyak tindak balas walaupun ia bukan salah mereka.

"Walaupun mereka melakukan yang terbaik tetapi situasi ini masih tidak boleh diterima," katanya.

Gambar-gambar mengejutkan yang dirakam oleh keluarga pesakit berkenaan, dipercayai berhampiran dengan Jabatan A & E (Kemalangan dan Kecemasan), mendedahkan barisan pesakit di atas troli di koridor hospital yang mana pihak atasan berkata mereka sedang 'bergelut' dengan permintaan tinggi 'pada masa yang sangat sibuk'.

Seorang jurucakap berkata: "Kami telah bekerjasama dengan rakan kongsi kesihatan dan penjagaan sosial untuk menambah baik proses kemasukan dan discaj tahun ini, namun ia masih sangat mencabar dengan ramai yang datang ke Jabatan Kecemasan.

"Ini adalah masa yang sangat sibuk, yang mana sukar untuk memasukkan pesakit Jabatan Kecemasan di wad kami. Apabila permintaan tinggi pesakit kadang-kadang menunggu lebih lama dari tempoh yang kami mahukan.

"Semua pesakit diberi pemeriksaan awal apabila ambulans tiba dan rawatan diberikan berdasarkan keperluan klinikal.

"Pesakit dan keluarga mereka sangat menyokong kakitangan kami dan memahami bahawa mereka melakukan yang terbaik pada masa yang sangat sibuk.

"Kami sedang berusaha keras untuk meminimumkan sebarang penangguhan dan meminta maaf berhubung apa yang berlaku." -MetroUK

kanser, hospital

Artikel Lain