Mangsa Tidak Puas Hati Daler Mehndi Dipenjara Dua Tahun - Dunia | mStar

Mangsa Tidak Puas Hati Daler Mehndi Dipenjara Dua Tahun

MUMBAI: Keputusan untuk memfailkan kes terhadap selebriti Bollywood, Daler Mehndi ternyata mengambil masa yang lama dan menelan belanja besar, demikian akui Bakshish Singh yang mengemukakan aduan terhadap penyanyi itu.

Bakshish terpaksa menghabiskan 15 tahun usianya dengan kos sebanyak Rs30 lakh (RM180,210) untuk kes berkenaan.

"Hampir separuh daripada wang keluarga telah digunakan untuk kes ini," katanya yang menetap di perkampungan Balbera.

Walaupun mahkamah telah memutuskan hukuman penjara dua tahun ke atas Mehndi, namun Bakshish masih tidak berpuas hati.

"Semua orang tahun Mehndi seorang yang berpengaruh, malahan dia pernah mengugut dan cuba memujuk saya untuk menarik balik kes terhadapnya.

"Selama 15 tahun terpaksa dilalui untuk membuktikan saya adalah mangsa Mehndi, dia juga menipu beberapa anak muda lain," dakwa lelaki berusia 38 tahun ini.

Dalam prosiding terbaharu, Mehndi dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas sebuah mahkamah di utara India mendapati dia bersalah menyeludup manusia ke Amerika Syarikat (AS) ketika mengadakan konsert di sana 20 tahun lalu.

Mehndi, 50 cukup dikenali di Bollywood kerana lagu-lagu dalam bahasa Punjabi yang begitu ceria dan bertenaga selain terkenal di kalangan warga India yang menetap di AS serta Kanada.

Mehndi dan abangnya dituduh membawa masuk 10 orang ke AS pada 1998 dan 1999 sebagai sebahagian daripada kumpulan nyanyian konsert di negara itu dengan dikenakan bayaran, menurut laporan media India. Kes mahkamah itu bermula sejak 2003.

Susulan aduan awal itu, lebih ramai tampil mendakwa dua beradik itu mengenakan bayaran untuk membantu menyeludup mereka ke luar negara.

Mehndi mengaku tidak bersalah manakala abangnya yang turut dituduh bersubahat, meninggal dunia tahun lalu.

Menceritakan lebih lanjut, kata Bakshish, ketika tampil membuat aduah terhadap Mehndi, pihak polis tidak menghiraukan apa yang dikatakannya.

"Pengaruhnya di semua peringkat dan tindakannya membuatkan dia diisytiharkan tidak bersalah pada 2005," katanya.

Kerana yakin di pihak benar, Bakshish mendapatkan khidmat peguam persendirian dan membelanjakan wangnya untuk meneruskan prosiding kes itu.

Mehndi telah menamatkan impiannya untuk menetap di Kanada apabila mengambil Rs 12 laks (RM72,000) dan pasportnya dan apabila ditanya mengenainya abang Mehndi iaitu Shamsher mengugut untuk membunuhnya.

Semangat dan sokongan keluarganya membuatkan Bakshish mahu terus mempertahankan haknya apabila mahu memfailkan kes terhadap isteri Mehndi, Daljit Kaur, selain memfailkan rayuan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap Mehndi.-HindustanTimes






Daler Mehndi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain