suria

Suntik Asid Hidroklorik Dalam Makanan Pasaraya

SEBUAH kumpulan anarki mendakwa telah menyuntik asid hidroklorik, bahan yang sangat memudaratkan ke dalam makanan dan minuman di pasaraya di Greece.

Kumpulan itu malah menyiarkan gambar mereka menyuntik minuman soda, susu dan daging dengan asid di media sosial.

Beberapa pasaraya di sana terpaksa menarik balik produk tertentu dari rak mereka selepas ancaman pencemaran.

Pihak berkuasa menggesa rakyat di Athens dan Thessaloniki supaya tidak membeli atau menggunakan produk Coca-Cola, jenama susu tempatan dan daging yang dibungkus kerana bimbang ia dicemari bahan berbahaya.

Kedua-dua bandar ini mempunyai jumlah gabungan kira-kira 1 juta penduduk yang terjejas oleh langkah-langkah pencegahan ini.

"Saya akan mengkategorikan ini sebagai aktiviti keganasan," kata seorang profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti Piraeus dan pakar dalam militansi sayap kiri, Mary Bossis kepada VICE Munchies.

"Mereka bukan aktivis politik, mereka adalah penjenayah."

Kumpulan tersebut yang menggunakan nama 'Blackgreen Arsonists' mengeluarkan manifesto mengisytiharkan: "Hari ini, beribu-ribu orang Kristian akan keluar membeli-belah barangan keperluan untuk hidangan Krismas, bagi mengisi kehidupan kosong mereka dengan 'sampah' yang dibungkus dengan pembalut yang cantik dan berkilauan."

Atas sebab tertentu, kumpulan itu juga menyatakan beberapa produk yang dicemari seperti minuman botol Coca-Cola dan Coca-Cola Light 1.5 liter, daging Yfantis (350- dan 500 gram) dan susu Delta.

Kumpulan itu mendakwa telah mengumpul barang-barang ini menjelang Krismas dan mengembalikannya ke rak kedai dari 20 hingga 24 Disember.

Asid hidroklorik tidak berwarna dan merupakan sebatian kimia larutan akueous gas hidrogen klorida, HCl. Asid hidroklorik merupakan asid kuat, dan merupakan komponen utama asid gaster dan digunakan secara meluas dalam industri.

Asid ini dianggap bahan toksik oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat dan ia sangat menghakis, menyebabkan kemudaratan segera apabila ditelan, menyebabkan sakit tekak yang teruk, kejutan, muntah berdarah dan juga kematian.

Ancaman yang sama telah muncul beberapa kali pada masa lalu, termasuk Krismas, tetapi tiada kes keracunan asid hidroklorik pernah direkodkan.

Dalam kes ini, bagaimanapun, kumpulan itu memasukkan gambar sebagai sebahagian daripada ancaman dalam talian mereka.

Pihak berkuasa kini tidak mempunyai maklumat tentang identiti pengganas dan mereka tidak kelihatan mempunyai mesej atau tujuan politik yang padu.

asid hidroklorik, Greece

Artikel Sebelum

Iran Longgarkan Kod Pakaian

Artikel Berikut

Kemarau Lagi, Israel Minta Hujan

Artikel Lain