suria

Makan Aiskrim Untuk Diet

PELBAGAI cara yang digunakan untuk mengurangkan berat badan sehingga ada yang sanggup menghabiskan ribuan ringgi demi mendapatkan berat badan yang ideal.

Malah ada yang hanya menggunakan modal kecil, tetapi mendapat hasil yang menakjubkan seperti lelaki dari Loveland, Colorado ini.

Anthony Howard-Crow baru-baru ini mendedahkan cara yang unik untuk mengurangkan berat badan walaupun mengambil makanan sebanyak mungkin sambil mengira kalori yang diambil.

Bagi tempoh 100 hari berturut-turut, Howard hanya makan aiskrim dan meminum sedikit protein, dan hasilnya, dia berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 14 kilogram.

Sejak 2011, Howard membuka saluran YouTube, Abs & Ice Cream sebagai usaha membuktikan teknik mengurangkan berat badan boleh dilakukan dengan memastikan pembakaran kalori seimbang dengan jumlah yang diambil.


"Tujuan video ini dibuat untuk membuktikan bahawa anda boleh makan apa sahaja dan berat badan masih menurun," katanya.

Sejak memulakan projek itu pada Januari lalu, Howard menekankan pengambilan kalori iaitu 2,000 kalori setiap hari daripada pemakanan aiskrim ditambah dengan 500 kalori serbuk protein.

Malah lelaki berusia 32 tahun itu membuktikan bahawa gaya pemakanannya itu adalah sihat walaupun ramai pihak mengatakan sebaliknya.

Selepas mengambil 2,000 kalori pada setiap hari selama 100 hari, paras darah semakin baik manakala tahap kolestrol juga seimbang.

Keputusan paling mengejutkan adalah tahap gula dalam badannya yang mencatatkan penurunan mendadak walaupun dia memakan aiskrim pada setiap hari. - ODDITY CENTRAL


Diet, Aiskrim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain