suria

Dua Renjer Maut, Lima Cedera Dalam Letupan Bom Di Pattani

PATTANI: Dua anggota renjer terbunuh dan lima lagi cedera dalam kejadian letupan bom di Saiburi di sini pada Isnin dipercayai didalangi anggota kumpulan pemisah.

Ketua Polis Daerah Saiburi Kolonel Polis Panya Kawaranant berkata polis  percaya serangan kali ini didalangi Ramlee Katecho, seorang anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK) yang aktif di Saiburi dan polis telah menahan dua suspek untuk membantu siasatan.

Beliau berkata tujuh anggota renjer sedang bertugas mengawal keselamatan guru dan pengguna jalan raya ketika letupan bom berlaku di Jalan Saiburi-Kapor di Kampung Manang Dalam, Saiburi pada kira-kira 7.30 pagi.

Menurut beliau, bom buatan sendiri dipercayai seberat 50kg itu diletakkan dalam tong gas memasak yang ditanam di jalan tersebut.

Kekuatan bom menyebabkan kereta perisai yang dinaiki anggota-anggota renjer tersebut melambung 10 meter jauhnya dan musnah teruk, katanya.

Panya berkata letupan itu juga menyebabkan terbentuk lubang seluas dua meter dan sedalam satu meter.

Menurutnya, satu lagi letupan berlaku kira-kira sejam kemudian ketika pegawai keselamatan sedang membuat rondaan dan memeriksa di kawasan berhampiran kira-kira tiga kilometer jaraknya dari tempat letupan bom pertama.

Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa dalam kejadian letupan kedua itu yang dipercayai membabitkan bom buatan sendiri seberat 10kg. - BERNAMA

letupan, bom, Pattani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain