suria

Putera William Akui Kematian Diana Kesedihan Yang Menyakitkan

Kenangan indah ketika Putera William bersama bondanya, Puteri Diana.

KESEDIHAN adalah pengalaman yang menyakitkan bagi kanak-kanak, kata Putera William ketika mengimbau detik hitam apabila kehilangan insan tersayang iaitu bondanya, Puteri Diana.

William berusia 15 tahun semasa ibunya terbunuh dalam kemalangan kereta ketika melalui terowong di Paris pada 31 Ogos 1997.

Putera diraja Britain itu berucap di hadapan tetamu pada majlis amal, Child Bereavement UK (CBUK) yang pernah dihadiri Diana ketika hayatnya.

"Bulan lepas, genap 21 tahun ibu menghadiri pelancaran Child Bereavement Charity.

"Selepas 15 tahun, saya sangat berbesar hati dijemput menjadi penaung CBUK bagi meneruskan tanggungjawab yang digalas ibu untuk badan amal ini.

"Apa yang dilakukan ibu saya dulu dan apa yang saya faham sekarang ialah kesedihan adalah pengalaman yang menyakitkan," kata William.

Katanya lagi, ibunya diingati sebagai seorang yang gemar menghulurkan bantuan dan beliau percaya pencapaian CBUK kini tentu akan membanggakan Diana.

"Apa yang dilakukan CBUK tiada tandingannya dan ia sangat menyentuh hati. Sebagai bapa kepada dua anak, saya sangat menghargainya," tambah Putera William lagi.

Pada majlis itu, penyanyi Gary Barlow turut membuat persembahan  sambil ditemani isterinya, Dawn dan anak perempuan, Poppy.

Barlow menyambut kedatangan Putera William pada majlis amal CBUK baru-baru ini.

"Saya dan Dawn selalu merasakan kehilangan seseorang yang disayangi adalah menyakitkan terutama untuk bercakap atau mengulas secara terbuka.

"Jadi saya akan nyanyikan lagu gembira untuk menyokong CBUK bagi berterima kasih kerana pertolongan yang dihulurkan kepada semua," katanya.

Child Bereavement ditubuhkan oleh Jenni Thomas OBE dan Julia Samuel yang juga pengasas serta penaung badan amal itu.

Puteri Diana, Putera William, CBUK, Paris

Artikel Lain