suria

Keganasan Di Baitulmuqaddis: PBB Adakan Mesyuarat Tergempar

NEW YORK: Keganasan berterusan antara Israel dan Palestin mendorong Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu berkenaan.

Ia dilaksanakan susulan permintaan ahli majlis berkenaan dari Jordon selepas mesyuarat duta-duta Arab pada Khamis menyatakan kebimbangan berhubung situasi di Baitulmuqaddis.

Duta Palestin, Riyad Mansour turut menyuarakan kebimbangannya kerana situasi pada masa kini digambarkan sebagai sangat tegang.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Keselamatan untuk menunjukkan tanggungjawab dengan tindakan menghentikan keganasan tersebut.

Pasukan keselamatan Israel mengerahkan kawalan keselamatan secara besar-besaran di Baitulmuqaddis selepas penduduk Yahudi turut menggunakan senapang, kayu dan penyapu sebagai senjata dalam pertempuran dengan penduduk Palestin.

Penduduk Palestin yang melancarkan intifada ketiga dengan serangan bersenjatakan pisau selain beberapa tindakan lain telah mencetuskan ketakutan dan kebimbangan kepada penduduk Yahudi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon telah berkali-kali meminta supaya keganasan yang memberi kesan buruk kepada kehidupan penduduk Palestin itu dihentikan sementara. --AFP


PBB, Baitulmuqaddis, Palestin

Artikel Lain