Gempa Terbaru Gegarkan Nepal - Dunia | mStar

Gempa Terbaru Gegarkan Nepal

KATHMANDU: Dua gempa susulan berukuran lebih daripada 4 pada skala Richter menggegarkan Nepal pada Jumaat, menurut Pusat Seismologi Kebangsaan, Nepal (NSC).

Gegaran pertama pada Jumaat direkodkan berukuran 4.2 dan yang kedua berukuran 4.8 dengan pusat kedua-dua gempa itu di sempadan antara daerah Dhading dan Nuwakot, kira-kira 45km barat laut Kathmandu, kata NSC.

Gempa susulan pada Jumaat tidak menyebabkan kemusnahan baru tetapi rumah-rumah yang mengalami keretakan mungkin terdedah kepada bahaya gempa susulan, kata Kementerian Dalam Negeri Nepal.

Kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri berkata kekuatan gempa susulan berkurangan secara beransur-ansur sejak gempa berukuran 7.3 melanda Nepal pada 12 Mei lepas dan kementerian telah mengarahkan orang awam supaya pulang ke rumah masing-masing.

Kebanyakan penduduk di Kathmandu masih lagi tinggal di dalam khemah di kawasan terbuka kerana takut kepada gempa bumi kuat yang mungkin berlaku.  Kekerapan gempa susulan menggandakan lagi ketakutan dalam kalangan penduduk.

"Saya masih tidak yakin bahawa gempa bumi telah reda sepenuhnya kerana gempa susulan setiap hari dan saya mahu tinggal di dalam khemah kerana nyawa saya lebih berharga," kata Indra Pudasaini yang tinggal di dalam khemah bersama lapan anggota keluarganya walaupun lelaki ini memiliki rumah sendiri.

Lebih daripada 670 gempa susulan direkodkan sejak gempa bumi besar 25 April lepas dengan 253 berukuran lebih daripada 4 pada skala Richter.

Kira-kira 9,000 orang terkorban dalam gempa bumi 25 April di Nepal dan gempa susulan pada 12 Mei lepas.

Lebih daripada 17,000 orang cedera, 494,000 kediaman dan bangunan kerajaan rosak semasa gempa bumi 25 April itu dan gempa susulan di Nepal.

Kerajaan Nepal mengumumkan ia akan membina semula rumah-rumah dan struktur yang rosak dalam masa lima tahun dengan mendapatkan bantuan dana daripada masyarakat antarabangsa.

Nepal , Gempa Bumi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

China Jamin Sokongan Bina Semula Nepal

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain