suria

China Jamin Sokongan Bina Semula Nepal

KATHMANDU: China menzahirkan kesanggupan dan memberi jaminan kepada pihak berkuasa Nepal bahawa negara itu akan memberi sokongan sebaik mungkin bagi pembinaan semula selepas kejadian gempa bumi kuat yang melanda Nepal.

Pembantu Menteri Luar China Liu Jianchao memberitahu Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala pada Khamis, bahawa China menjamin akan memberikan sokongan kepada Nepal bagi pembinaan semula, berikutan gempa bumi yang melanda pada 25 April lepas, menurut kenyataan Kementerian Nepal di sini.

Liu yang mengetuai tujuh anggota tertinggi delegasi rasmi China tiba di Kathmandu pada Khamis untuk mengkaji keadaan pasca gempa dan berbincang dengan pihak berkuasa Nepal mengenai kemungkinan kerjasama China dalam pengagihan bantuan dan kerja-kerja pembinaan semula serta memulakan perundingan dengan pemimpin dan pegawai Nepal.

Dalam pertemuan dengan Koirala, Pembantu Menteri Luar China itu juga memberi jaminan mengenai tahap kerjasama yang lebih baik sebagaimana diperlukan Nepal dari China pada waktu-waktu yang sukar begini, menurut kenyataan itu.

China juga menyatakan kesediaan untuk membina semula infrastruktur dan mengembalikan budaya serta warisan sejarah yang tela musnah akibat gempa bumi, menurut kenyataan itu.

Sebagai maklum balas, Koirala memuji China dan beberapa negara lain kerana memberikan sokongan ikhlas kepada Nepal untuk tujuan menyelamat, membantu dan kerja-kerja membina semula pasca gempa bumi, menurut Kementerian Luar.

Nepal dilanda gempa bumi kuat pada 7.9 magnitud 25 April lepas dan gegaran susulan pada 12 Mei, yang mengorbankan hampir 9,000 orang, mencederakan  lebih 17,000 mangsa serta memusnahkan lebih 400,000 bangunan swasta dan awam termasuk lebih 5,000 bangunan sekolah.

Masyarakat antarabangsa termasuk negara-negara jiran terdekat Nepal - China dan India - telah menyatakan kesediaan untuk menyumbang bagi pemulihan dan kerja-kerja pembinaan semula ekoran gempa bumi kuat di Nepal.

Lebih 670 gempa susulan termasuk 253 gegaran berukuran 4 magnitud mengegarkan Nepal sejak 25 April iaitu hari berlakunya gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada Skala Richter.

China, Nepal, Liu Jianchao, gempa bumi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain