suria

Taliban Dakwa Tembak Jatuh Helikopter, Sasar PM Pakistan

GILGIT (Pakistan):  Askar Taliban mendakwa bertanggungjawab terhadap nahas helikopter tentera yang membunuh enam orang, termasuk isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan isteri Duta Besar Indonesia ke Pakistan, serta duta Norway dan Filipina, pada Jumaat.

Mereka berkata Perdana Menteri Nawaz Sharif adalah sasaran mereka.

"Helikopter itu telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu anti-pesawat, membunuh juruterbang dan ramai duta asing," menurut oleh jurucakap utama mereka Muhammad Khurasani, menerusi kenyataan bahasa Urdu yang dihantar melalui e-mel.

"Sekumpulan khas Tehreek-e-Taliban Pakistan telah menyediakan pelan khas untuk menyasarkan Nawaz Sharif semasa lawatan beliau tetapi beliau terselamat kerana menaiki helikopter yang lain," tambah Khurasani.

Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dengan segera, tetapi rantau Gilgit-Baltistan di utara Pakistan di mana helikopter terhempas tidak dikenali sebagai benteng organisasi militan.

Para pegawai rasmi belum mengulas mengenai dakwaan Taliban. Kementerian pertahanan mengeluarkan kenyataan menyatakan siasatan sedang dijalankan berhubung punca nahas.

Satu kenyataan awal oleh pejabat Sharif berkata, beliau berada di dalam penerbangan, bukan helikopter, untuk perjalanan ke kawasan Gilgit pada masa serangan, tetapi terpaksa berpatah balik ke Islamabad selepas berita mengenai kemalangan itu.

Seorang pegawai atasan pentadbiran serantau memberitahu AFP bahawa Sharif dijadualkan untuk merasmikan satu projek di sebuah resort ski di Lembah Naltar.

Helikopter yang terhempas adalah salah sebuah daripada tiga buah yang membawa delegasi duta untuk memeriksa projek selama tiga hari ke Gilgit-Baltistan, di mana duta-duta asing telah ditetapkan untuk bertemu dengan Sharif.

Artikel Lain