suria

Wanita Berusia 20 Tahun Catat Sejarah Baru Pilihan Raya Britain

Mhairi Black, calon Parti Kebangsaan Scotland yang baru berusia 20 tahun mencatat satu sejarah baru dalam pilihan raya umum Britain apabila diisytiharkan sebagai ahli parlimen paling muda negara itu sejak 1660.

GLASGOW: Mhairi Black, calon Parti Kebangsaan Scotland yang baru berusia 20 tahun mencatat satu sejarah baru dalam pilihan raya umum Britain apabila diisytiharkan sebagai ahli parlimen paling muda negara itu sejak 1660.

Dia kini mewakili kawasan parlimen Paisley dan Selatan Renfrewshire yang sebelum ini telah diwakili oleh calon dari Parti Buruh sejak 70 tahun yang lalu.

Paling mengejutkan ialah kemampuannya untuk menewaskan calon menteri luar dari Parti Buruh, Douglas Alexander yang merupakan penyandang jawatan kerusi berkenaan dan seorang veteran dalam politik Britain.

Yang memalukan ialah seorang tokoh veteran politik tewas di tangan pelajar jurusan sains politik yang masih belum tamat pengajian lagi.

Black berjaya memperolehi 23,548 undi berbanding Alexander 17,864 undi.

Rekod ahli parlimen termuda Britain sebelum ini disandang oleh Chloe Smith, yang ketika menang berusia 27 tahun.

Bercakap kepada stesen televisyen Sky News, Black berkata: "Apa yang orang ramai dahagakan ialah perubahan dan mereka menaruh harapan kepada parti yang mereka fikir mampu menunaikan perubahan tersebut."

Katanya lagi, apa yang terjadi di seluruh Scotland yang menyaksikan kebangkitan Parti Kebangsaan Scotland adalah kerana kesedaran politik orang ramai semakin tinggi dan mereka tidak teragak-agak untuk mengundi parti yang bersedia mendengar keluhan mereka.

Parti yang diwakilinya telah memenangi 56 kerusi di seluruh Scotland - hampir menyapu bersih kesemua tempat yang sebelum ini diwakiki oleh Parti Buruh.

Mhairi Black dijangka menamatkan pengajian ijazah pertamanya dalam bidang sains politik dari University of Glasgow, tidak lama lagi.


Mhairi Black, SNP, Britain

Artikel Sebelum

Artikel Lain