suria

Cubaan Kedua Hillary Clinton Sebagai Presiden AS

Hillary Clinton menerusi video pelancaran kempen White House 2016.

WASHINGTON: Selepas dipuji Barack Obama yang menganggap beliau bakal menjadi presiden yang cemerlang, akhirnya Hillary Clinton bagaikan mengesahkan khabar angin untuk sekali lagi cuba menerajui kepimpinan Amerika Syarikat (AS).

Secara rasminya bekas Setiausaha Negara AS itu melancarkan kempen ke White House dalam usahanya menjadi presiden wanita pertama negara itu.

Kempen ke White House 2016 dilancarkan menerusi laman web Hillary.

Menerusi video pelancaran kempen itu, isteri kepada bekas presiden Bill Clinton memberitahu hasratnya untuk menjadi juara di hati rakyat.

Pada 2008, Hillary bertanding untuk jawatan sama, namun tewas kepada Barack Obama di peringkat pemilihan Parti Demokrat.

Perjalanan seterusnya buat pasukan Hillary adalah membentuk sokongan lebih kukuh pada pengundian awal dengan mengadakan jelajah umum bermula pertengahan Mei ini.

Beberapa hari lalu ketika lawatannya ke Panama, Obama mengeluarkan kenyataan mengenai Hillary dengan mengatakan beliau sebagai calon berwibawa untuk menyainginya ketika bertanding dalam pemilihan Parti Demokrat pada 2008.

Penggal kedua Obama sebagai presiden akan berakhir pada Januari 2017.


Artikel Berikut

IS Tembak Mati Komander Kanan

Artikel Lain