suria

BBC Batalkan Siaran Langsung Top Gear Dalam Siri Jelajah Norway

Clarkson (kanan) dan dua lagi hos rancangan popular kereta, Top Gear, James May dan Richard Hammond.

> Empat siri jelajah Norway ditunda sehingga kes siasatan dalaman ke atas hos Jeremy Clarkson selesai

> Masa depan Jeremy Clarkson bersama rancangan popular itu masih samar

> Ada kemungkinan Perbadanan Penyiaran British (BBC) memecatnya

> Clarkson digantung tugas selepas dia didakwa menumbuk penolong penerbit atas isu hidangan makanan

> Hasil siasatan dalaman sepatutnya diserahkan Isnin.

LONDON: Masa depan pengacara jutawan dan popular siri Top Gear, Jeremy Clarkson semakin malap apabila stesen penyiaran, British Broadcasting Corporation (BBC) mengambil keputusan untuk menunda siaran langsung yang dijadualkan di Norway sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Empat siri jelajah Top Gear yang dijadualkan di Norway hujung minggu depan telah dibatalkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Siri berkenaan yang sangat popular di rangkaian televisyen BBC telah dibatalkan sejak Clarkson terlibat dalam satu insiden pergaduhan dengan penolong penerbit rancangan berkenaan yang menyaksikan pengacara popular itu digantung tugas.

Pengantungan tugas Clarkson bermula dua minggu yang lalu sebaik sahaja dakwaan dia memukul penolong penerbit Top Gear, Oisin Tymon bocor kepada pengetahuan umum.

Sehubungan dengan itu, BBC telah melantik Ken MacQuarrie, pengarah BBC Scotland untuk mengetuai satu jawatankuasa siasatan dalaman berhubung insiden tersebut. Mereka sepatutnya menyerahkan laporan penuh hasil siasatan itu pada Isnin.

Akhbar The Daily Mail melaporkan, Clarkson dan Tymon telah memberikan dua versi yang berlainan berhubung kejadian itu.

Tymon mendakwa yang dia tumbuk sehingga berdarah manakala Clarkson mengakui berlakunya insiden tolak menolak dan pergaduhan tetapi menafikan yang dia telah melayangkan tumbukan ke muka Tymon.

BBC sedang cuba sedaya upaya untuk mengekalkan Clarkson sebagai hos rancangan itu dengan syarat dia dibebaskan dari sebarang dakwaan mencederakan rakan sekerja yang lain.

Clarkson kini telah memperolehi satu juta sokongan daripada peminat-peminat setianya yang sedang melancarkan kempen tanda tangan untuk mendesak BBC menarik balik pengantungan tugas terhadapnya.

Siri jelajah Norway yang sepatutnya ke udara secara langsung pada 27 dan 28 Mac ini telah pun berjaya menjual sebanyak 20,000 tiket.

Satu tarikh baru berhubung siri jelajah itu akan diumumkan kemudian.

Siri itu yang popular di serata dunia dikatakan menjana pendapatan sehingga £50 juta setahun kepada BBC.

Clarkson, 54, dikatakan mengancam untuk menyaman BBC jika dia disingkirkan dari rancangan tersebut.

Top Gear yang dicetuskan atas ilham Clarkson telah dijual kepada BBC sehingga menjadikan Clarkson seorang jutawan.

Top Gear, Jeremy Clarkson, BBC

Artikel Lain