suria

Banduan Bunuh Keluarga Ketika Sesi Lawatan Di Penjara

Domingo Villa yang dipenjarakan kerana membunuh isterinya bertindak membunuh keluarganya semasa sesi lawatan di penjara.

SEORANG bekas polis yang dipenjarakan kerana membunuh isterinya bertindak membunuh semua ahli keluarga yang datang melawatnya di penjara.

Portal berita Mirror melaporkan banduan, Domingo Villa, 40, membunuh teman wanita, dua anaknya dan seorang anak tiri perempuan menggunakan senjata yang diperbuat daripada dawai tajam sebelum menikam dirinya sendiri di bahagian dada.

Teman wanita Villa, Isela, 36, bersama ahli keluarga banduan itu melawatnya di penjara Puente Grande di Guadalajara, barat Mexico. 

Sebelum kejadian, kesemua mereka dipindahkan ke sebuah bilik asrama untuk sesi lawatan berikutan hujan lebat.

Dalam satu kenyataan, banduan itu dikatakan mengamuk apabila anaknya mengadu mengenai ibunya yang tidak melayani mereka dengan baik.

Dia yang berang kemudiannya bertindak menikam teman wanitanya di bahagian dada dan membunuh Angel, anak lelakinya berusia empat tahun dan bayi perempuannya, Valeria yang baharu berusia beberapa bulan.

Anak tiri perempuannya, Erika, 17, cedera parah tetapi berjaya melarikan diri tetapi kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan itu.

Ketua Penguam negeri, Luis Najera mengakui bahawa tiada pengawal yang mengawasi asrama tersebut ketika kejadian berlaku. 

"Para pegawai penjara sedang memeriksa pintu masuk. Seorang penyelia sedang membuat pemeriksaan di satu sel yang agak jauh dan tiada sesiapa pun menyedari kejadian itu sehingga anak perempuan berusia 17 tahun itu menangis meminta bantuan," kata pegawai.

Para pengawal menemui banduan itu dalam keadaan menikam dirinya sendiri dan mereka kemudiannya menahannya. Banduan itu dirawat di sebuah hospital berhampiran.

Villa kemudiannya memberitahu polis bahawa senjata berupa dawai itu diperoleh ketika bengkel kraftangan di penjara.

Villa dipenjara kerana membunuh isterinya akibat cemburu pada 2006. Dia kini berhadapan dengan tuduhan lima pembunuhan menyebabkan kemungkinan akan dikenakan hukuman paling maksimum.

Pengarah penjara dilaporkan tidak dapat memberi penjelasan sebab tiada pengawal yang mengawasi sesi lawatan itu ketika kejadian pembunuhan berlaku.

Villa dipenjara secara berasingan dengan pesalah lain kerana sebagai bekas anggota polis bagi memastikan keselamatan dirinya terjamin sepanjang penahanan di penjara Puente Grande. - miror.co.uk

Artikel Sebelum

Artikel Lain