suria

Remaja Cuba Bunuh Ibu Kerana iPhone

Gambar Hiasan

DENVER: Polis menahan remaja perempuan berusia 12 tahun kerana disyaki  cuba membunuh ibunya menggunakan cecair peluntur semata-mata untuk mendapatkan semula iPhone miliknya, demikian lapor pihak berkuasa pada Jumaat.

Jurucakap polis, Heidi Prentup berkata, ibunya meminum cecair peluntur tersebut pada cubaan keduanya dalam tempoh seminggu bulan ini.

Katanya, gadis yang berang dengan perbuatan ibunya yang mengambil iPhonenya mencampurkan bahan peluntur itu ke dalam minuman waktu sarapan yang disediakan untuk ibunya pada 2 Mac.

"Ibunya menyedari bau peluntur di dalam minuman itu, bagaimanapun dia hanya menganggap anaknya tidak membersihkan gelas itu dengan betul," kata polis.

Wanita yang dirahsiakan identitinya itu dirawat di sebuah hospital tempatan dan kini dibenarkan pulang.

Empat hari kemudian, gadis tersebut didakwa mencampurkan peluntur ke dalam minuman ibunya yang disimpan di dalam bilik tidur. Ibunya curiga apabila terhidu bau peluntur lalu membuat keputusan untuk berhadapan dengan anaknya.

"Ketika inilah ibunya mengetahui apabila anak gadisnya cuba merancang untuk membunuhnya selepas telefon bimbit iPhone anaknya diambil," kata polis.

Prentup berkata, wanita tersebut membuat laporan polis dan penahanan terhadap anaknya dilakukan setelah mendapati kesemua bukti mencukupi.

Gadis itu dibawa ke pusat tahanan juvana sementara menunggu untuk didakwa kerana cubaan membunuh.

iPhone, Denver, peluntur

Artikel Lain